Bersama Pemimpin
13 Penerima SP Dan PGB Terima Watikah
Penulis: Kamarulzaman Ariffin       Keluaran : Bil 177        Tarikh Kemaskini: 20 Jun 2009
+ Email Artikel Ini!
+ Artikel Penuh Bergambar (PDF)

Keamanan adalah faktor penting membawa kestabilan seterusnya kemajuan serta kemakmuran negara.

Semangat mereka yang kental, kesetiaan mereka yang jitu dan pengorbanan mereka yang unggul terhadap agama, bangsa dan negara menyebabkan mereka rela mengenepikan segala kepentingan diri.

Rakyat dan negara perlu mengetahui sedikit sebanyak pengorbanan yang dilakukan oleh anggota tentera kita pada masa lampau sebelum menikmati keamanan dan kesejahteraan yang sedang dinikmati hari ini.

Anggota yang telah berkorban dan berjasa perlu dikenang supaya mereka merasai tidak dilupakan.

Ini bersesuaian dengan konsep masyarakat penyayang yang sedang kita bangunkan sekarang.

Apa yang pernah menjadi rahsia pada masa lampau mungkin tidak menjadi rahsia pada masa kini dan apa yang menjadi rahsia pada hari ini juga tidak akan menjadi rahsia lagi pada masa akan datang. Sama ada baik atau buruk sejarah akan tetap mengambil tempatnya.

Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) adalah penghormatan yang tertinggi sekali dan paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah persekutuan.

Ianya dizahirkan pada 29 Jul 1960 dan diwartakan pada 11 Ogos 1960. Anugerah ini dikurniakan kepada sesiapa jua yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani dan penuh pengorbanan.

Anugerah ini boleh dikurniakan selepas seseorang mati. Panglima Gagah Berani (PGB) adalah anugerah kedua tertinggi, ianya dizahirkan pada 29 Jul 1960 dan diwartakan pada 11 Ogos 1960.

Kehormatan ini diberi kepada mereka yang berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata dan telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa sewaktu menghadapi musuh.

Anugerah ini boleh dikurniakan selepas seseorang mati. Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang ke 76, Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD, Al Sultan Mu’Tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’Adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli menyampaikan watikah SP dan PGB kepada 13 pegawai dan anggota di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA) pada 15 Mac 2009.

Sebagai pahlawan tanah air, mereka telah mengabadikan jasa yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang dan harta benda.

Demi maruah bangsa dan tanah air, para pahlawan yang namanya terukir dalam lipatan sejarah negara ini haruslah dijaga dan dipelihara sebagaimana kita menjaga dan memelihara warisan sejarah yang lain.

Dalam membicarakan hal-hal berkaitan dengan penganugerahan pingat keberanian negara, seharusnya kita tidak dapat membelakangkan beberapa individu penting disebalik kejayaan setiap operasi yang dicapai sehinggalah membawa kepada anggota terlibat dianugerahkan pingat-pingat keberanian berkenaan.

Individu yang dimaksudkan adalah seperti, Kapt Hamid Awang yang berasal dari Terengganu.

Mulanya pada 7 Apr 1973, beliau telah menerima maklumat perisikan yang menyatakan seramai 40 ke 50 orang pengganas komunis akan berkumpul di Gunung Pueh.

Pada petangnya beliau berjaya mengesan perkhemahan musuh dan melakukan serangan ke atas kedudukan tersebut.

Kumpulan beliau berjaya membunuh tiga orang pengganas dan merampas 3 laras senjata.

Beliau dikurniakan pingat SP pada 6 Jun 1973. Lt Kol Abd Jalil Makmor, semasa mengetuai platunnya (berpangkat Lt M) telah bertempur dengan pengganas komunis dan berjaya membunuh seorang pengganas komunis iaitu Ah Tok, Pasukan Pengempur Ke 6 PKM di Bukit Lintang Karak, Pahang pada 10 Dis 1974. Dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975.

Lt Kol Roslan Abdul Rahman, beliau berasal dari Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor. Pada 25 Okt 1979, Lt M Roslan memimpin Platun 5 Kompeni B 14 RAMD telah berjaya mengesan khemah musuh yang diduduki empat pengganas komunis.

Beliau telah melancarkan serangan di kedudukan tersebut dan berjaya membunuh dua pengganas dan semasa penggeledahan berjaya membunuh seorang pengganas wanita.

Beliau dikurniakan pingat PGB pada 19 Dis 1980. Mej Mohamad Piah Ali, berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Pada 7 Okt 1977, semasa mencari pangkalan baru, kumpulan ronda Platun Lt Mohamad Piah telah mengesan khemah musuh.

Jam 1700, beliau dan platunnya merapati kedudukan musuh dan melancarkan serangan ke kedudukan musuh. Platunnya telah berjaya membunuh empat pengganas komunis.

Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1978. Mej Mohamad Juraimy Ariffin berasal dari Alor Gajah, Melaka pernah terlibat dalam misi menyelamatkan 70 US Ranger yang dikepung di Bakara Market oleh Militia Farah Aideed pada 4 Okt 1993.

Beliau dengan berani bertempur sehingga tembakan yang dilepaskan menyebabkan pihak militia berundur.

Misi ini dilaksanakan dengan cemerlang oleh anggota MALBATT. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Okt 1994. Mej Suhaidi Hj Saad berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pada 27 Ogos 1993, Lt M Suhaidi mengetuai Platun 2 Kompeni A, 21 RAMD yang berkekuatan 8 anggota diserang oleh lanun di Laut Sulu.

Beliau mempamerkan keberanian semasa bertempur dengan lanun dan membangkitkan semangat anggota untuk berjuang bermati-matian. Platunnya berjaya membunuh dua orang lanun dan mencederakan tiga yang lain.

Beliau dikurniakan pingat pada 1 Jun 1997. PW II Othman Ismail, beliau berasal dari Kg Bekoh, Tangkak, Johor.

Pada 10 Dis 1974, LKpl Osman terserempak dan ditembak musuh ketika membuat penyapuan (sweep). Beliau membalas tembakan dengan Light Machine Gun (LMG) sambil menuruni teres bukit mengikut pergerakan musuh.

Dengan berani beliau mengejar musuh dan berjaya membunuh pengganas tersebut.

Sepucuk pistol beserta peluru, bahan letupan, makanan dan peralatan dirampas. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975. Sjn Hashim Jantan, beliau berasal dari Kampung Serom Dua, Muar, Johor.

Pada 23 Sep 1957, LKpl Hashim dan tiga anggota dalam tugas rondaan di sebatang anak sungai telah terserempak sekumpulan pengganas. Beliau dengan berani menggempur musuh dan menembak mati dua pengganas.

Hasil pertempuran, kumpulan beliau berjaya membunuh Ketua Pasukan ke 9 PKM iaitu Chong Man.

Beliau dikurniakan pingat PGB pada 31 Ogos 1958 . Sjn Taib Tawal, berasal dari Kg Ayer Molek, Bandar Melaka. Pada 7 Apr 1973, Pbt Taib terlibat menyerang perkhemahan musuh.

Beliau bertindak berani dengan menembak sambil berlari ke arah musuh tanpa menghirau keselamatan dirinya.

Di akhir pertempuran, mereka berjaya membunuh tiga pengganas, merampas tiga laras senjata dan pelbagai peralatan lain.

Beliau dikurniakan pingat pada 4 Jun 1975.

SSjn Rizal Ismail, beliau berasal dari Kg Banggol Besi, Ulu Tiram, Johor. Pada 4 Okt 1993 LKpl Rizal terlibat dalam misi menyelamat 70 US Ranger dan anggota Tentera Udara Amerika yang dikepung di Bakara Market.

Semasa pertempuran, beliau telah menunjukkan keberanian dengan mengambil risiko apabila menggempur musuh dan berjaya mengekang kemaraan musuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Okt 1994. Pbt Zi Yacob, beliau berasal dari Pantai Besar, Larut Matang, Taiping, Perak.

Pada 3 Jun 1970, jam 1700, satu operasi khas dilancarkan. Platun 1 Kompeni A, 12 RAMD telah diserang hendap oleh penganas. Musuh menjangkakan mereka telah menewaskan Platun 1, tetapi beliau terus memerhatikan mereka. Beliau terus menembak tepat ke arah musuh yang cuba mengambil senjata Mesin Gun Kegunaan Am (MGKA) dari rakannya yang terkorban.

Tindakan beraninya memberi tindak balas terhadap serangan tersebut berjaya memaksa musuh berundur.

Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1971.

Sewajarnya nikmat keselesaan dan kemewahan, lantaran wujudnya keamanan tidak terus menipis atau melunturkan rasa hormat serta simpati kita kepada setiap golongan yang sanggup mempertaruhkan walaupun nyawa mereka sendiri hingga ke titisan darah terakhir demi kedaulatan bangsa dan negara.

Ini kerana setiap perwira yang mempertahankan negara tersemat satu matlamat iaitu tidak sanggup melihat tanah tumpah darah mereka jatuh ke tangan petualang bangsa, bak kata pepatah ‘biar putih tulang jangan berputih mata’.


Artikel Bersama Pemimpin Keluaran 177
13 Penerima SP Dan PGB Terima Watikah
Majlis Pemakaian Pangkat Kol Kehormat PALAPES
   
PDF Keseluruhan Keluaran April 09 (Bilangan 177)
Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 9 | Muat Turun PDF
Seksyen 5 | Muat Turun PDF