Menarik
Ke Arah Merealisasikan Pertahanan Negara
Penulis: Kapt Aishah Ismail       Keluaran : Bil 177        Tarikh Kemaskini: 20 Jun 2009
+ Email Artikel Ini!
+ Artikel Penuh Bergambar (PDF)

Dewasa ini, kuasa utama dunia bergantung kepada dasar pertahanan yang ada dalam sesebuah negara.

Setiap negara mesti mengatur dasar pertahanan sendiri dan dasar itu tidak hanya mengambarkan objektif negara tetapi juga mengambarkan harapan atau jangkaan tentang kemampuan kuasa lain mempertahankan kedaulatan negara.

Di Malaysia, Dasar Pertahanan Negara mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingankepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara.

Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global.

Antara kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), dan Selat Melaka. Malaysia melihat sebarang perkembangan di rantau ini akan juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Ini adalah penting kerana Malaysia berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan hampir setiap negara anggota ASEAN.

Sebarang gangguan kepada keselamatan rantau ini, sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke atas keselamatan negara.

Dengan mengambilkira faktor-faktor kepentingan strategik negara dan persaingan dalam pelbagai kepentingannya yang lain, pertahanan Malaysia berkisar sekitar prinsipprinsip utama iaitu Keupayaan Untuk Berdikari, Kerjasama Serantau dan Bantuan Luar.

Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras kepada dasar pertahanan negara.

Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan berdikari nasional. Ianya tidak hanya melibatkan pasukan tempur tetapi juga rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri ketenteraan yang sejajar dengan keutamaan program pembangunan negara.

Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata.

Walau bagaimanapun, dengan mengambilkira hadhadnya, keupayaan berdikari negara umumnya berasaskan dua landasan.

Landasan pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancamanancaman luar tahap rendah dan pertengahan.

Oleh kerana kedudukan geografi negara di tengah-tengah Asia Tenggara, kepentingankepentingan strategik Malaysia mempunyai pertalian yang rapat dengan negara-negara serantau yang lain.

Berdasarkan kedudukan ini, keselamatan Malaysia adalah sebahagian daripada keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Dengan demikian, sebarang ancaman terhadap ASEAN atau ke atas mana-mana negara ASEAN adalah juga dilihat sebagai ancaman kepada Malaysia. Dengan demikian sewajarnyalah, Malaysia memberi keutamaan kepada kerjasama serantau.

Dalam konteks kerjasama serantau, Malaysia juga memberi sokongan terhadap mewujudkan hubungan kerjasama pertahanan dua hala di kalangan negara-negara ASEAN.

Satu rangkaian kerjasama pertahanan dua hala dengan negara-negara ASEAN akan banyak membantu dalam proses membina keyakinan dan menggalakkan ketelusan.

Malaysia juga telah menganggotai Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Malaysia sebagai satu saluran untuk memperolehi bantuan luar. FPDA merupakan satu-satunya peraturan pertahanan bentuk formal yang melibatkan Malaysia dengan negara-negara kuasa luar serantau.

Sungguhpun menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Malaysia yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya terus menjadi tonggak pertahanan negara.

Sehubungan itu, Malaysia akan terus berusaha ke arah meningkat dan membangunkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia di samping memberikan kesedaran tentang pertahanan dan semangat patriotik di kalangan rakyat jelata.

Dasar Pertahanan Negara

Dalam konteks pertahanan di Malaysia, konsep HANRUH merupakan strategi ketiga bagi Dasar Pertahanan Negara selain dari Strategi Deterance dan Forward Defence. Namun konsep HANRUH ini masih di peringkat perancangan.

Apa yang boleh dirumuskan ialah masih belum wujud kesepakatan dalam menangani strategi ini.

Mungkin ketiadaan sebarang ancaman terbuka terhadap negara dan keselesaan serta kesejahteraan rakyat menyebabkan kurangnya komitmen atau keperluan terhadap HANRUH. Namun begitu, konsep ini merupakan satu langkah secara langsung dalam keselamatan dan pertahanan negara.

Keutuhan dan perpaduan masyarakat diakui sebagai salah satu asas utama bagi membina pembangunan dan kesejahteraan negara.

Dalam konteks HANRUH ini negara Malaysia meneliti dan menghuraikan program dan aktiviti ke arah membina integrasi rakyat berteraskan nilai-nilai hidup serta untung nasib atau destiny bersama. Masyarakat yang bersatu teguh dengan perpaduan usaha dan kejituan jiwa adalah aset penting dalam mematikan keselamatan dan keutuhan negara.

Malaysia pula mengamalkan asas konsep berdikari dan lebih bersifat pertahanan, berbeza dengan sikap negara Amerika yang menggunakan kuasa tentera untuk berperang dan melindungi orang-orang berkepentingan disamping timbulnya masalah dari luar atau dalam negara.

Asas konsep berdikari membawa maksud kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi sebarang ancaman yang menganggu dan menggugat keselamatan dalam negeri. Ini termasuklah menangani ancaman dari dalam sepertimana ATM menghadapi ancaman pengganas komunis dan kegiatan puak pelampau seperti Kumpulan Al-Maunah.

Dengan sokongan dari industri pertahanan tempatan dan bekalan logistik yang wujud, ATM yakin dapat menangani ancaman di peringkat rendah dan pertengahan menerusi tindak balas operasi darat, laut dan udara.

Bagaimanapun, bagi konflik atau ancaman melebihi kedua–dua peringkat tersebut, negara memerlukan bantuan luar. Usaha diplomasi dan memohon komitmen Peraturan Pertahanan Lima Negara akan terpaksa dituntut.

Strategi Pertahanan Tentera Darat

Setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan sejak ditubuhkan 76 tahun yang lalu, sudah tiba masanya Tentera Darat (TD) berubah mengikut peredaran zaman dan cabaran masa kini.

Perubahan persekitaran serantau dan di arena antarabangsa yang nyata lebih kompleks dan mencabar memerlukan TD lebih bersiapsedia bagi menghadapi evolusi yang mendatang. Ke arah meningkatkan kesiapsiagaan ini, TD sejak kebelakangan ini telah melaksanakan program-program pengstrukturan atau pengubahsuaian semula organisasi kita.

Amat jelas bahawa hala tuju untuk TD dibentuk sebagai sebuah angkatan yang kredibel, mudah diaturgerakkan, versatil dan berdaya musnah akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi.

Program-program sedemikian adalah perlu kerana selain dari mengenali keupayaankeupayaan baru, TD harus membuat penyesuaian kepada keperluan-keperluan semasa agar dapat melaksanakan tugas-tugas dengan efisien, baik dalam aspek pentadbiran, latihan mahupun operasi/gerakan.

Sebagaimana yang telah diperkatakan, apa yang ingin dicapai ialah untuk menjadikan TD sebagai sebuah angkatan yang kredibel sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai a strong and effective deterrent force.

Dalam usaha kita menghadapi cabaran masa kini, negara tidak mengalakkan penggunaan angkatan tentera dalam menangani sebarang pertikaian. Malah, ia mengutamakan penyelesaian secara aman. Sehubungan dengan itu, mengambil kira objektif dan postur pertahanan secara defensif yang menekankan kepada strategi pertahanan hadapan (forward defence) dan cegah rintang (deterrence) diguna pakai.

Strategi Pertahanan Hadapan

Strategi Pertahanan Hadapan berkisar kepada kemampuan untuk mempamerkan sebuah angkatan yang berkeupayaan untuk bertindak melampaui batasan atau persempadanan darat (land), perairan (territorial waters) dan ruang angkasa (airspace) negara.

Bagi merealisasikan strategi ini, apa yang diperlukan adalah membangunkan sebuah ketumbukan atau angkatan yang kredibel, serba lengkap (persenjataan dan kelengkapan yang lain yang difikirkan perlu) dengan sokongan logistik yang efektif dan efisien.

Ini bagi memastikan agar sebarang konflik, sekiranya berlaku, dapat dibendung sejauh mungkin dari wilayah negara.

Mungkin ramai berpendapat konsep berbentuk inilah yang dipraktikkan oleh Amerika Syarikat sejak dari dahulu lagi, iaitu sekiranya berlaku sebarang peperangan atau pertempuran, keselamatan rakyatnya dan kedaulatan tanahair perlu diutamakan. Walaupun demikian, ini telah terjejas apabila berlakunya tragedi 11 September.

Maka wujud pula konsep Homeland Security yang ada sekarang.

Strategi seumpama ini adalah penting bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan juga kemusnahan harta benda dari berlaku terutama sekali di pihak awam.

Walaupun ramai berpendapat korban peperangan atau casualties of war tidak dapat dielakkan, sekurangkurangnya ia dapat dikurangkan.

Lihat sahaja apa yang berlaku ketika Perang Teluk, walaupun sesetengah penganalisa strategik berbangga dengan precision bombings yang dilaksanakan ketika, namun korban di pihak awam masih tinggi dan tidak dapat dielakkan.

Jika dilihat dari perspektif strategi Pertahanan Hadapan atau forward defence, ia memerlukan TD mengaturgerakkan satu angkatan yang boleh beroperasi bersama dengan perkhidmatan lain dalam ATM di luar perbatasan (atau wilayah) negara. Konsep joint-arms dan juga combined arms telah lama dipraktikkan oleh tentera negara-negara maju. TD tidak mempunyai platform untuk beroperasi secara bersendirian.

Oleh itu adalah wajar sebuah ketumbukan dibentuk yang mudah gerak atau mobile dan berkeupayaan diaturgerak ini ke kawasan konflik dengan menggunakan semua bentuk pendekatan darat, laut dan udara. Sebagai elemen follow-on forces, angkatan ini akan melaksanakan pencantuman dengan komponen strategik ATM yang lain. Bagi melaksanakan konsep ini, angkatan yang diaturgerakkan perlu mempunyai kekuatan tempur serta daya tahan yang berpanjangan (sustainable), versatile, lethal dan deployable.

Strategi Cegah Rintang

Berbeza dengan strategi Pertahanan Hadapan, strategi Cegah Rintang pula bertujuan mengurangkan keyakinan pihak lawan atau bakal musuh, daripada mengambil tindakan ketenteraan terhadap negara kita. Ianya juga lebih menjurus kepada peperangan psikologikal. Strategi ini memaksa pihak musuh mengkaji implikasi dari segi kos yang perlu mereka tanggung (secara ekonomi, politik dan juga sosial) sekiranya mereka ingin mengambil tindakan terhadap negara kerana secara logiknya, kita akan bertindak balas sekiranya kedaulatan negara diancam.

Strategi ini akan berkesan sekiranya pihak musuh membuat kesimpulan bahawa walaupun peluang atau probability untuk mereka menang sekiranya mereka melaksanakan first strike adalah besar, tetapi padah peperangan tersebut, sekiranya berpanjangan, adalah jauh lebih buruk daripada manfaat yang diperolehi pada peringkat awal.

Ungkapan seperti reciprocity dan repercussion lebih tepat jika digunakan dalam menghuraikan strategi ini.

Tidak ada negara yang mampu menanggung kerugian yang besar, baik dari segi kehilangan nyawa ataupun kemusnahan harta benda walaupun ia mampu melaksanakan first strike yang efektif.

Mengimbas kembali kepada sejarah, tentera Jepun telah memulakan serangan ke atas Pearl Harbour yang membawa Amerika Syarika ke kancah Perang Dunia Kedua, tetapi apa kesudahannya?

Bagaimana pula strategi TD untuk merealisasikan startegi Cegah Rintang ini? Sebagaimana yang telah diterangkan, strategi ini lebih menitikberatkan peperang psikologikal.

Strategi ini digubal untuk memberi amaran kepada bakal musuh (potential adversary) bahawa sebarang tindakan ketenteraan terhadap kedaulatan tanahair tidak akan memberi keuntungan sekiranya tindakan tersebut diambil, malah akan hanya merugikan pihak lawan.

Oleh demikian lebih tepat jika dinyatakan bahawa Cegah Rintang adalah untuk menonjolkan keupayaan dan kemampuan TD melalui pembangunan keupayaan angkatan atau force capability development dengan meluas agar dapat meyakinkan pihak musuh bahawa kos untuk bertindak ke atas angkatan negara adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kejayaan yang ingin dicapai.

Bagi memenuhi strategi ini, force projection TD perlu mempamerkan keupayaan untuk bertindak sebagai sebuah angkatan tempur yang kredibel dan seimbang serta berdaya tahan untuk memikul amanah sebagai benteng pertahanan negara.

Pembangunan Keupayaan Ketenteraan

Setelah mengetahui cabaran yang bakal dihadapi dan bagaimana konsep pertahanan dibentuk untuk menghadapi cabaran-cabaran ini, soalan seterusnya adalah ‘Apakah bentuk angkatan Tentera Darat yang kita perlukan untuk mendokong rancangan ini?’.

Kita perlu sedar bahawa objektif perancangan pertahanan adalah untuk membangunkan angkatan yang seimbang, bersepadu, fleksibel dan mampu diatur gerak dimana jua serta mempunyai keupayaan tinggi.

TD seharusnya mampu untuk menangani ancaman konvensional dan ancaman transnasional, mampu membina kerjasama pertahanan di peringkat dua hala dan pelbagai hala serta mampu untuk menyesuaikan kepada sebarang perubahan terhadap doktrin, budaya dan struktur ketenteraan.

Dalam usaha ini, kita harus menilai pengajaran dari konflik dan peperangan yang berlaku di samping peka terhadap perkembangan teknologi moden dan permodenan angkatan tentera negara-negara di dunia dan serantau.

Dalam hal ini TD perlu mempunyai wawasan atau visi yang didasarkan kepada fakta masa lalu dan masa kini, dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa wawasan Panglima Tentera Darat untuk mencapai visi 2 10 plus 10 amat relevan.

Ini bertujuan untuk memperlengkapkan struktur organisasi dan doktrin peperangan bagi menghadapi cabaran-cabaran di masa hadapan.

Wawasan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengubah doktrin serta konsep peperangan malah melibatkan juga aspek teknologi pertahanan dan integrasi teknologi dengan manusia. Situasi geo-politik banyak mengajar kita sebagai contoh, peperangan di Iraq.

Ia memperlihatkan kepada kita bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menggunakan dengan meluas informasi dan perisikan untuk mempengaruhi medan peperangan, samada semasa tinjauan, perisikan, pemerintahan dan kawalan, operasi dan bantuan udara.

Perkembangan dalam bidang information and communication technology yang sering diperkatakan sebagai security of the fourth dimension telah memberi kesan yang mendalam dan mampu mempengaruhi hala tuju dan bentuk peperangan masa hadapan.

Peperangan tersebut juga telah memperlihatkan penggunaan peralatan berteknologi tinggi melalui long range precision strike yang mampu memberi kesan yang besar terhadap peperangan. Pengajaran yang diperolehi melalui peperangan di Iraq ini memerlukan TD untuk membangunkan doktrin dan keupayaan ketenteraan dalam aspek-aspek berikut:

* Revolution in Military Affairs.Pembangunan teknologi hingga menghasilkan senjata baru berteknologi tinggi seperti micro electronic technology telah menukar angkatan tentera AS ke arah sistem yang bersepadu.

* Peralatan berteknologi tinggi membolehkan unit atau formasi berfungsi dengan bilangan anggota yang kecil secara efektif.
  Keupayaan ini dapat diaplikasikan secara menyeluruh melalui penggunaan network centric dalam organisasi ketenteraan.

* Senjata berteknologi tinggi atau hi-tech precision strike telah menukar konsep asas peperangan tradisional di mana pembahagian garisan kawasan hadapan dan belakang dalam kawasan pertempuran telah menjadi semakin samar menduduki wilayah musuh selepas serangan bukan lagi menjadi faktor penentu kemenangan dalam peperangan masa kini.


Struktur organisasi TD yang dahulunya berorientasikan kepada keupayaan Peperangan Melawan Insurgensi kini distruktur semula kepada satu struktur organisasi yang sesuai untuk menghadapi ancaman peperangan konvensional semasa.

Perubahan ini bukan melibatkan struktur semata-mata tetapi juga mengambilkira semua aspek pertahanan termasuk peralatan, teknologi persenjataan, keanggotaan, infrastruktur dan logistik.

Struktur TD dewasa ini menitikberatkan permodenan keupayaan TD agar ia menjadi sebuah organisasi yang padat dan seimbang dan dilengkapi dengan peralatan, persenjataan moden serta sistem berteknologi tinggi dan terkini.

Struktur ini juga memberi tumpuan kepada aspek gabungan atau combined arms dengan perkidmatan-perkhidmatan lain dalam ATM. Selain dari itu TD akan dianggotai oleh anggotaanggota yang terlatih dan didokong dengan sistem logistik yang efektif dan efisyen. Angkatan Tentera bukan diwujudkan semata-mata untuk berperang.

Sesebuah angkatan tentera adalah perlu untuk bertindak sebagai sebuah deterrent force dan tidak lebih dari itu. Oleh demikian, walaupun kecil dari bentuk saiz, pembangunan TD yang bersepadu, seimbang dan fleksibel, adalah berasaskan kepada a lean and mean core force dan angkatan pasukan simpanan yang besar bagi membantu angkatan tetap.

Angkatan darat yang yang kecil tetapi mempunyai keupayaan konvensional yang tinggi tanpa mengabaikan kemahiran dalam peperangan assymetric amatlah bersesuaian.

Dengan ini TD akan berupaya mempertahankan kedaulatan negara dari segala ancaman serta menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang.

Meningkatkan Profesionalisme

Dengan keyakinan serta tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat, amat jelas setiap warga TD harus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap profesionalisme di samping berusaha gigih melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan dan penuh kewibawaan. Kejayaan satu-satu angkatan tentera itu diukur melalui anggota yang berkualiti.

Oleh itu, tumpuan yang menyeluruh perlu diberikan untuk melahirkan anggota yang kompeten dan versatile.

Keperluan menyediakan anggota yang berpengetahuan, kompeten dan bersikap positif amatlah penting bagi menentukan segala aset canggih yang dimiliki oleh TD dapat menghasilkan keupayaan yang dihasratkan.

Sistem latihan yang diamalkan perlu menyumbang ke arah usaha untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme anggota.

TD yang terdiri dari pelbagai Kor dan Rejimen, yang juga merupakan satu community of practices.

Setiap elemen, sama ada tempur, bantuan tempur mahupun bantuan perkhidmatan, perlu tahu akan peranan dan penugasan masing-masing.

Gandingan mantap elemen-elemen ini akan menentukan pencapaian wawasan dan objektif TD yang ditetapkan.

Bagi mendokong aspek ini juga, ilmu pengetahuan, pengalaman dan peralatan sokongan yang bersesuaian amat diperlukan, Peralatan berteknologi moden merupakan satu keperluan untuk membantu anggota. TD mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka.

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, setiap warga TD mestilah menyemai semangat perpaduan demi untuk keutuhan TD dan ATM amnya, komited, bertanggungjawab serta ‘accountable’ dalam segala tindak-tanduk.

Kelebihan inilah yang dapat membawa TD untuk mengharungi cabaran-cabaran masa hadapan dengan berkesan.

Sebagaimana yang telah dinayatakan, globalisasi membawa banyak perubahan kepada kita semua.

Ini bererti TD perlu membuat persediaan yang terbaik.

Secanggih manapun peralatan pertahanan yang dibekalkan, sekiranya warga TD sendiri tidak berupaya menukar minda atau merubah paradigma dan mempertingkatkan ilmu ketenteraan serta kemahiran yang sedia ada, kecanggihan peralatan tersebut tidak mendatangkan manfaat.

Dari aspek intrinsic pula, keikhlasan dalam melaksanakan tugas, rajin serta gigih berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta diri sendiri, mengekalkan tahap disiplin profesyen ketenteraan yang tinggi, bermoral tinggi dan peka di dalam perkembangan di dalam bidang teknologi maklumat adalah antara nilai-nilai yang perlu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi.

Ini akan melayakkan TD untuk bersaing dengan lain-lain angkatan pertahanan di rantau ini.

Nilai-nilai ini juga akan menjadi landasan kepada kekuatan TD menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman.

Penutup

Struktur organisasi TD dengan jelas perlu distruktur semula kepada satu struktur organisasi yang sesuai untuk menghadapi ancaman konvensional semasa. Ini bukan sahaja melibatkan struktur semata-mata tetapi mengambil kira juga semua aspek meliputi peralatan, teknologi persenjataan, keanggotaan, infrastruktur dan logistik.

Dengan yang demikian, struktur TD akan berupaya menitikberatkan permodenan agar TD menjadi sebuah organisasi yang padat dan seimbang, menggunakan peralatan, persenjataan moden serta sistem-sistem berteknologi tinggi dan terkini, mempunyai anggota-anggota yang terlatih dan sistem logistik yang berkesan.

Jelas sekali, walaupun kecil dari segi saiznya, TD akan berupaya mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman sama ada dari luar ataupun dalam negara.

Aspek gabungan atau combined arms perlu diketengahkan, terutama sekali bagi mendokong Strategi Pertahanan Hadapan yang diwarwarkan.

Kualiti dan bukannya kuantiti yang akan menentukan keberhasilan sesuatu tugas. George Washington pernah berkata ‘our object ought to be to have a good army rather than a large one’. Adalah wajar TD juga perlu mempunyai ‘a respectable army, and such as will be competent to every contigency’.

Bagi TD inilah ketika dan masanya untuk berlatih menghadapi ancaman serta peperangan, kerana telah menjadi tugas tentera ketika aman berlatih untuk berperang dan berperang ketika negara diancam.

Peperangan zaman moden ini memerlukan tidak hanya kekuatan fizikal dan mental juga tidak kurang mustahaknya peralatan dan teknologi perang yang canggih. Kita juga perlu menghayati Perintah Ulung YBhg PTD yang ke 21 bahawa ‘kita perlu memperkasakan latihan bagi membina mentaliti dan kemahiran warga TD dalam sebuah negara maju.

Kepakaran yang sedia ada (dalam peperangan melawan insurgensi) mestilah terus dipertajamkan.

Latihan yang dilaksanakan hendaklah difokuskan kepada kemampuan dalam operasi konvensional, operasi bersama dan latihan-latihan gabungan dengan tentera asing’.

Yang penting kredibiliti dan keutuhan TD sebagai teras utama kedaulatan negara diperkukuhkan kerana ATM amnya dan TD khasnya merupakan satu institusi pertahanan yang boleh diharapkan mempertahankan negara dari sebarang ancaman.

Artikel Menarik Keluaran 177
360 Anggota ATM Meneruskan Kibaran Jalur Gemilang Di Lubnan
Merah Kuning Biru
Ke Arah Merealisasikan Pertahanan Negara
   
PDF Keseluruhan Keluaran April 09 (Bilangan 177)
Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF Seksyen 9 | Muat Turun PDF