Pengorbanan
Sejarah Hitam Sg Semur Dalam Ingatan Hj Wahab
|
| Penulis: Sjn Syuhaimi
Saad dan Sjn Saifun Hakimi Zainon Keluaran : Bil 177 Tarikh Kemaskini: 20 Jun 2009 |
Sejarah pengorbanan warga tentera terdahulu atau lebih dikenali
dengan gelaran veteran perang amat memberi makna bagi
generasi pada hari ini untuk dijadikan iktibar atau panduan
semoga sejarah negara dijajah semula tidak berulang.
Generasi
sekarang seharusnya belajar melalui sejarah kerana sejarahlah
yang mendewasakan kita.
Wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), Sjn Syuhaimi
Saad dan Sjn Saifun Hakimi Zainon berkesempatan menemuramah veteran
perang iaitu 4056 LKpl Hj Wahab Hamid (Bersara) 85 tahun yang
pernah bertempur di Sungai Semur.
Sama-sama kita ikuti pengalaman beliau
sewaktu kejadian pertempuran di Sungai Semur sekitar bulan Mac 1950.
LKpl Hj Wahab Hamid dilahirkan pada tahun 1926 di Kampung Terusan,
Juwaseh, Negeri Sembilan.
Berasal daripada keluarga di mana
bapanya hanya bekerja kampung, anak keempat daripada lima
adik beradik ini mendapat didikan awal di sekolah Melayu Juwaseh
sehingga darjah 5 dari tahun 1932 hingga 1937 dan meneruskan
pengajian ke Sekolah Agama Jempol pada tahun 1938 hingga 1939.
Setelah tamat alam persekolahan beliau bekerja sebagai pekerja
am di Singapura dan disebabkan minat yang mendalam untuk
menyertai pasukan beruniform seterusnya menceburi alam
ketenteraan pada 24 Ogos 1948 setelah berjaya menjalani pemilihan
rekrut di Johor Baharu.
Sebagai anak kampung, amat berasa
bangga kerana memilih kerjaya sebagai tentera kerana dapat
berkhidmat untuk agama, bangsa serta negara.
Setelah tamat
menjalani latihan rekrut di Port Dickson beliau ditugaskan di pasukan
3 RAMD.
Semasa di pasukan beliau menjalani kursus lanjutan
sebelum melibatkan diri untuk tujuan latihan serta operasi.
Pada awal Mac 1950, Kompeni D telah menjalankan satu
gerakan berhampiran dengan Gua Musang di Hulu Kelantan.
Penempatan kompeni ialah Markas Kompeni, Platun 11 dan 12 di
Pengkalan Pulai sementara Platun 10 berada di Bertam.
Pada 23
Mac 1950, jam 0730, Platun 12 Kompeni D berkekuatan seramai 25
orang terdiri dari 1 Pegawai, 1 Koperal, 4 Lans Koperal dan 19
prebet yang diketuai oleh Lt Muda Hassan Yassin ditugaskan untuk
membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari.
Platun ini telah diikuti oleh sekumpulan “Special Constable” (SC)
berkekuatan 15 anggota diketuai oleh Sjn Wan Yaakob. Kumpulan
konstabel ini ditugaskan untuk mengiringi 17 orang bangsa Cina
untuk mengambil atap di perjalanan. Pada tengahari mereka berhenti
untuk berehat dan berkhemah berhampiran Sungai Semur.
Kumpulan SC dan pengambil atap turut bermalam berhampiran pangkalan mereka.
Pada keesokan harinya platun ini telah meninggalkan Kumpulan
Konstabel dan Cina pengambil atap di situ untuk melaksanakan kerjakerja
mengambil atap,sementara platun ini meneruskan tugasan rondaan
ke Sungai Nenggiri dan pada jam lebih kurang 1400 mereka berhenti
untuk makan tengahari.
Semasa makan, Lt Muda Hassan telah memberi
arahan untuk berpatah balik ke pangkalan asal di mana kumpulan SC
serta pencari atap tadi ditinggalkan kerana bekalan makanan yang di
bawa tidak mencukupi.
Platun telah bergerak pada jam 1530 dan sampai di pengkalan tersebut
pada jam 1800.
Sebaik tiba di pengkalan, Sjn SC telah berjumpa dengan
Lt Muda Hassan untuk memaklumkan yang mereka akan balik ke Pulai
pada pagi esok jam 0800.
Seterusnya platun telah bermalam di situ.
Pada keesokan harinya 25 Mac 1950 lebih kurang jam 1000 pagi, Lt
Muda Hassan dan platunnya telah bersiap sedia untuk bergerak tetapi
Kumpulan Konstabel dan kumpulan pengambil atap belum bersedia untuk
bergerak. Oleh itu Lt Muda Hassan telah mengarahkan kumpulan tadi
agar bergerak secara bersendirian kemudiannya.
Pada jam lebih kurang 1030 pagi, selepas hampir 30 minit bergerak
menyusuri Sungai Semur platun ini telah melalui satu kawasan di
seberang sungai terdapat cerun bukit.
Dengan tidak semena- mena,
beberapa saat tembakan dari arah belakang platun pula dilepaskan.
Dengan serta merta hampir separuh dari anggota termasuk Lt Muda
Hassan telah gugur.
Pada ketika itu, memang agak sukar sesiapa juga untuk
mengganggarkan berapa ramaikah bilangan pengganas komunis di dalam
kumpulan serang hendap tersebut.
Lt Muda Hassan dilihat mengacukan
pistolnya untuk melepaskan tembakan kearah musuh tetapi beliau
ditembak terlebih dahulu.
Anggota-anggota lain dari platun telah bertindak dengan garang dan
melepaskan tembakan balas ke atas musuh, Kpl Jamaluddin Muhammad
dengan serta merta mengambil alih tugas sebagai Ketua Platun.
Beliau
telah mengarahkan tembakan Mortar 2 inci ke arah kedudukan musuh.
Namun tembakan ini tidak berhasil disebabkan peluru mortar tersebut
terkena pada pohon buluh yang menutupi kawasan itu, Kpl Jamaludin
bersama anggota lain telah cuba merapati tebing di sebelah mana
mereka ditembak untuk memberi tentangan dengan membaling bom
tangan tetapi tindakan ini sukar dilakukan kerana di samping
berhadapan musuh, kumpulannya juga ditembak oleh musuh dari
arah tebing yang bertentangan di sebelah sungai.
Pertempuran berterusan hampir empat jam antara kedua belah
pihak, pihak musuh yang ramai dijangkakan melebihi 200 orang
komunis.
Dalam keadaan pertempuran yang sengit itu, pihak musuh
telah cuba beberapa kali untuk menghampiri anggota yang tercedera
dan terkorban untuk mengambil senjata dan menyerang
kedudukannya tetapi gagal dengan tentangan yang diberikan pihak
Batalion Ketiga Askar Melayu Diraja.
LKpl Hj Wahab Hamid pada ketika itu berpangkat prebet mengalami
kecederaan yang teruk akibat terkena tembakan di peha kanan dan
menembusi hingga ke peha kiri serta kaki kirinya terkena serpihan bom
tangan hingga mengakibatkan kecederaan kekal hingga ke hari ini.
Setelah
dua hari dua malam di dalam hutan menahan kesakitan dan menunggu
bantuan dari pasukan sahabat beliau dan rakan-rakan yang tercedera
hanya mampu berdoa dan berserah kepada-Nya, tidak disangka-sangka
peha kirinya terkeluar ulat sebesar batang mancis, akibat terlalu lama
menahan kecederaan dan luka-luka yang tidak dirawat.
Setelah pasukan
penyelamat sampai mereka semua dibawa ke luar ke penempatan Kem
terdekat dan di hantar ke hospital untuk rawatan seterusnya.
Tragedi ini merupakan satu sejarah dan akan dikenang serta akan
disematkan dalam lipatan sejarah negara kita amnya dan Batalion Ketiga
Askar Melayu Diraja khasnya pada setiap 25 Mac.
Ia akan wujud untuk
dipersembahkan dan ditauladani oleh generasi kini bagi membanteras
musuh hingga ke titisan darah terakhir.
PDF Keseluruhan Keluaran April 09 (Bilangan 177)
|
|
|