Hal Ehwal Semasa
Kestabilan Asia Tengah Tergugat
Penulis: Tim BTDM  Tarikh Kemaskini: 1 Jun 2010
Gambar: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Negara-negara di Asia Tengah dan Kaukasus Utara seperti Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Chechnya, Dagestan dan Ingushetia yang pernah berada di bawah kuasa Kesatuan Soviet, mula berontakan, setelah rakyat mula menyedari hak mereka dan mempersoalkan kuasa mutlak para pemimpin.

Rakyat negara terbabit yang sebelumnya tidak aktif dalam politik kini mula membuat banyak tuntutan dan aduan sosial berkaitan masalah rasuah, nepotisme, penindasan terhadap penganut Islam serta kegagalan pengagihan sumber negara kepada rakyat.

Rantau Asia Tengah mempunyai sumber simpanan minyak, gas, uranium serta emas yang terbesar di dunia, menjadikannya tarikan minat kepada negara besar dunia seperti Russia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Campur tangan luar dan kebangkitan minat rakyat dalam politik negara telah menimbulkan banyak pergolakan khasnya penunjuk perasaan yang melancarkan demonstrasi anti kerajaan serta penentangan bersenjata berdarah.

Sementara itu Kazakhstan yang merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tengah, merupakan negara yang paling kurang berlakunya pergolakan berbanding negara lain.

Sebagai negara pengeluar terbesar uranium di dunia serta antara pembekal terbesar sumber asli seperti tembaga, emas dan minyak, Kazakhstan berupaya mengagihkan kekayaan kepada rakyat.

Sumber mineral yang diuruskan secara adil membantu menjadikan Kazakhstan lebih stabil dengan situasi politik dan sosial yang lebih aman.

Negara-negara Kaukasus Utara di bawah Gugusan Emiriah Kaukasus, kini dengan lantang menentang kerajaan Kesatuan Soviet, bagi menubuhkan sebuah pentadbiran Kaukasus berasaskan Syariah dan merdeka daripada Kesatuan Soviet.

Kesatuan Soviet sudah sekian lama cuba menghapuskan pejuang pemisah Islam di Kaukasus Utara seperti Dagestan, Chechnya dan Ingushetia.

Kini penentangan pejuang pemisah Islam sudah berani menentang kerajaan Kesatuan Soviet hingga di Ibu Kota Russia di Moscow.

Sejarah Pergolakan Awal Sebenarnya sejak kurun kelima belas lagi, wilayah pergunungan Kaukasus khasnya di Kaukasus Utara seperti Chechnya, sudah bergolak menentang kuasa luar yang menjajah.

Setelah ramai penduduk Chechnya memeluk agama Islam, pergolakan dengan kerajaan Turki yang Islam mulai reda.

Namun, pertelingkahan dengan penduduk wilayah jiran yang beragama Kristian seperti Geogians dan Cossacks serta dengan penduduk Kalmyks yang menganut agama Buddha pula meningkat.

Pada tahun 1783, Russia dan penduduk puak Georgia di Karti-Kakheti, telah menandatangani Perjanjian Georgievsk di mana Russia akan memberi perlindungan kepada Karti-Kakheti daripada ancaman penduduk Islam Chechnya.

Ketika itulah negara Russia mulai meluaskan pengaruhnya di wilayah pergunungan Kaukasus Utara hingga kini.

Russia telah menakluk wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai oleh Turki dan Persia dan ketidakpuasan penduduk Islam terhadap pemerintahan Russia pun bermula.

Beberapa peperangan besar telah berlaku di wilayah pergunungan Kaukasus Utara iaitu Peperangan Russia - Turki dan Russia – Persia, 1804 –1813.

Sheikh Mansur Ushurma, seorang pemimpin Chechnya daripada kumpulan Sufi Naqshbandi, merancang untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam dengan undang-undang Syariah, namun mendapat tentangan daripada kerajaan Russia.

Antara tahun 1834 hingga 1859, berlaku lagi penentangan Chechnya yang dipimpin oleh Avar Imam Shamil, terhadap penguasaan Kerajaan Russia.

Seterusnya, setiap kali kerajaan Russia cuba menguatkuasakan pengaruhnya, akan timbul penentangan oleh rakyat Chechnya atau Chechens.

Puak Chechens juga akan bangkit setiap kali pengaruh tentera Kesatuan Soviet di Chechnya kelihatan goyah.

Pemberontakan puak Chechens terus berlaku pada tahun 1905 dan 1917, tetapi masih gagal mengalahkan kerajaan Russia.

Pada penghujung tahun 1930an Kesatuan Soviet telah menyatukan wilayah Chechnya dan Ingushetia dan menubuhkan sebuah republik autonomi Chechen-Ingushetia.

Penduduk Chechens telah bangun memberontak menentang penguasaan kerajaan Soviet pada tahun 1940an, namun mereka kalah dan akibatnya, atas perintah Stalin, keseluruhan puak Chechens dan Ingush telah dinyahkan ke Kazakhstan dan Siberia pada tahun 1944.

Pada tahun 1956, di bawah pemerintahan Presiden Nikita Khrushchev, Republik Autonomi Chechen-Ingushetia dimansuhkan.

Atas dasar yang dipanggil “de-Stalinization”, penduduk Chechens dan Ingush yang dibuang negara, dibenarkan kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namun mereka masih berada di bawah perintah kerajaan Kesatuan Soviet.

Perpecahan Kesatuan Soviet

Keruntuhan kuasa Kesatuan Soviet selepas tahun 1991, telah mengundang kebangkitan beberapa wilayah yang menuntut kemerdekaan ataupun pemerintahan sendiri.

Negara-negara yang telah sekian lama menentang Kesatuan Soviet ,mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Seorang bekas jeneral Tentera Udara Kesatuan Soviet, Dzhokhar Dudayev, telah menubuhkan Kongres Kebangsaan Chechen, untuk menuntut kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet bagi Negara Chechnya.

Chechnya yang merupakan hub utama pengeluaran minyak bagi Kesatuan Soviet, tidak akan begitu mudah untuk dibiarkan mencapai kemerdekaan.

Kemerdekaan Chechnya akan memudaratkan kemudahan jana kuasa dan seterusnya mengekang ekonomi Kesatuan Soviet.

Wilayah lain juga akan mengikuti langkah Chechnya yang akan terus merungkaikan kuasa Kesatuan Soviet yang sudah dipegang sejak sekian lama.

Dengan itu sejak awal tahun 1990an, Kesatuan Soviet bertindak tegas dan menentang dengan keras sebarang usaha untuk menjatuhkan pemerintahan mereka dalam tanah jajahan di Asia Tengah dan wilayah Kaukasus Utara.

Peperangan Chechen

Tindakan Kesatuan Soviet untuk menghapuskan kebangkitan Pejuang Pembebasan Chechen, telah mengakibatkan berlakunya dua peperangan besar antara tentera Kesatuan Soviet dengan Pejuang Pembebasan Chechen.

Peperangan Chechen Pertama berlaku pada tahun 1994 hingga 1996, mengakibatkan seramai antara 3,500 hingga 7,500 tentera Kesatuan Soviet terbunuh dan seramai antara 3,000 hingga 15,000 Pejuang Pembebasan Chechen terkorban.

Dalam pada itu seramai 35,000 penduduk awam turut terkorban.

Terdapat laporan yang menyatakan pada keseluruhannya, jumlah korban adalah lebih besar iaitu antara 80,000 hingga 100,000 di kedua-dua pihak Walaupun tentera Kesatuan Soviet menggunakan senjata yang lebih berat,moden serta mendapat bantuan tentera udara, mereka gagal mengalahkan Pejuang Pembebasan Chechen yang pakar berjuang di kawasan pergunungan.

Pejuang Pembebasan Chechen juga sering melakukan serangan gerila yang berjaya melemahkan semangat tentera Kesatuan Soviet.

Keberanian Pejuang Pembebasan Chechen melancarkan serangan di Hospital Budyonnovsk pada tahun 1995, memeranjatkan pemimpin Kesatuan Soviet dan rakyat Soviet keseluruhannya.

Kejayaan Pejuang Pembebasan Chechen dalam operasi di Grozny dan kejatuhan semangat dan moral tentera Kesatuan Soviet secara meluas memaksa Presiden Boris Yeltsin mengisytiharkan gencatan senjata pada 1996.

Peperangan Chechen Kedua bermula pada bulan Oktober 1999.

Sebelum itu Pejuang Pembebasan Chechen dituduh terbabit dalam siri pengeboman pangsapuri di beberapa bandar Russia yang mengakibatkan seramai 300 penduduk awam terbunuh.

Sebagai balasan, tentera Kesatuan Soviet telah melancarkan perang besar-besaran dengan tentera darat dibantu oleh pesawat tentera udara.

Berbeza dengan Peperangan Chechen Pertama, kali ini tentera Kesatuan Soviet lebih bersedia dan teratur.

Mereka dengan mudah dapat mengalahkan Pejuang Pembebasan Chechen dan berjaya menguasai semula kebanyakan wilayah yang terdahulu dikuasai oleh Pejuang Pembebasan Chechen.

Walaupun tewas, Pejuang Pembebasan Chechen masih meneruskan perjuangan mereka dengan melancarkan beberapa serangan gerila terhadap tentera Kesatuan Soviet.

Pejuang Pembebasan Chechen juga meneruskan tindakan pengeboman di tempat awam seperti stesyen keretapi dan terowong bawah tanah.

Pergerakan Jihad Baru di Russia

Peristiwa dua letupan bom oleh pengebom berani mati di stesen kereta api bawah tanah di Moscow, pada 29 Mac lalu, yang mengakibatkan 39 orang terkorban dan kira-kira 70 lagi cedera, telah mengejutkan Russia serta dunia daripada lamunan mereka kerana sudah enam tahun tiada kejadian keganasan yang serupa di Moscow.

Namun Rusia dengan cepat menuduh kejadian tersebut dilakukan oleh kumpulan pemisah Islam di Kaukasus Utara.

Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin berikrar tentera Russia akan memerangi secara habis-habisan kumpulan pemisah Islam yang dikatakan dalang beberapa kejadian serangan berani mati di bumi Russia.

Dalam pada itu, pemimpin kumpulan penentang Chechen, Doku Umarov, dengan lantang mengakui bertanggungjawab mengarahkan serangan berani mati tersebut.

Malah Doku Umarov yang menganggap dirinya sebagai ‘Emir Emiriah Kaukasus’ yang turut meliputi wilayah Chechnya, Ingushetia, Dagestan dan Ossetia Utara, berkata, serangan yang serupa akan berterusan bahkan mengembangkan kegiatan mereka dari Kaukasus ke tengah Russia.

Doku Umarov memberi amaran bahawa ‘darah bukan sahaja akan tumpah di pekan dan kampung, bahkan peperangan akan bermula di bandar besar.

Seterusnya Doku Umarov juga berikrar bahawa sebuah pentadbiran Kaukasus berasaskan syariah dan berasingan daripada Russia akan menjadi kenyataan.

Sebelum peristiwa pengeboman di stesen bawah tanah kereta api Metro Moscow tersebut, beberapa kejadian letupan bom sudah berlaku.

Pada 11 Jun 1996, bom buatan sendiri meletup di atas kereta api dalam terowong di antara stesen Tulskaya dan Nagatinskaya, mengakibatkan empat penumpang terbunuh.

Pada 1 Januari 1998, bom buatan sendiri meletup di pintu masuk stesen Tretyakovskaya, mencederakan tiga orang.

Seterusnya pada 5 Februari 2001, bahan letupan yang diletakkan di bawah kerusi di platform stesen Belorusskaya meletup dan mencederakan 15 orang.

Pada 6 Februari 2004, seorang pengebom berani mati daripada kumpulan pemisah Islam Kaukasus Utara, meletupkan diri ketika kesesakan kereta api yang sedang dalam perjalanan di antara stesen Avtozavodskaya dan Paveletskaya, mengakibatkan seramai 40 orang terbunuh dan lebih 100 orang lagi cedera.

Pada 31 Ogos 2004, seorang wanita pengebom berani mati meletupkan bom di luar stesen Rizhskaya yang mengakibatkan seramai sepuluh orang terbunuh.

Sebuah kumpulan penyokong pejuang pembebasan Chechen yang kurang dikenali, mengaku bertanggungjawab.

Doku Umarov yang telah menjadi sasaran beberapa percubaan pasukan keselamatan Russia untuk membunuhnya, merupakan sekutu pemimpin penentang Chechen, Shamil Basayev, yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Russia pada tahun 2006.

Sebelum itu, Shamil Basayev mendakwa bertanggungjawab atas beberapa serangan berani mati termasuk peristiwa tebusan di sekolah Beslan dalam tahun 2004 di mana seramai 330 orang kebanyakannya tebusan terbunuh.

Seorang pakar keselamatan, khas ke atas pertubuhan militant di Pusat Carnegie, Amerika Syarikat (AS), Alexei Malashenko, berpendapat bahawa kejadian letupan bom di Moscow itu menandakan kebangkitan kembali kegiatan jihad di Russia.

Dalam pada itu Pertubuhan IntelCentre AS juga mengenal pasti Emiriah Kaukasus yang dipimpin oleh Doku Umarov, sememangnya terbabit dalam peristiwa letupan bom di stesen kereta api bawah tanah Metro Lubyanka dan Park Kultury di Moscow tersebut.

Pengebom Wanita Anggota Skuad Elit

Akhbar harian ‘Kommersant’ Moscow, melaporkan, pasukan penyiasat Russia telah mengenal pasti identiti seorang daripada pengebom berani mati yang melakukan serangan bom dalam kereta api bawah tanah Metro Moscow.

Pengebom berani mati tersebut, merupakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, seorang anggota skuad elit yang meletupkan diri di stesen kereta api Park Kultury.

Remaja yang dikenali sebagai Dzhennet Abdurakhmanova adalah balu kepada seorang pejuang pembebasan Chechen, Umalat Magomedov yang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Russia dalam operasi khas tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi pengebom wanita terbabit dilaporkan sudah dikenal pasti oleh kedua ibu bapanya sebagai seorang guru sain komputer bernama Maryam, berumur 28 tahun.

Bapanya, Rassoul Magomedov dari Dagestan, Kaukasus Utara, menyatakan bahawa beliau dan isteri dapat mengecam anak mereka dari gambar yang disiarkan di Internet dan dikirim kepadanya oleh rakan-rakan melalui telefon mudah alih.

‘Kommersant’ memetik sumber siasatan, mendakwa bahawa seramai 30 orang pengebom berani mati telah direkrut oleh pemimpin militan Kaukasus Utara untuk menyertai ‘Skuad Elit’.

Mereka dipilih melalui Internet dan dilatih di Vedensky, Chechnya, untuk melancarkan serangan seperti peristiwa letupan bom di stesen kereta api bawah tanah Russia.

‘Kommersant’ menambah, bahawa seramai 30 pengebom berani mati baru, lelaki dan perempuan telah dipilih dan dilatih setakat ini.

Pengebom berani mati wanita yang menyertai Skuad Elit juga dikenali sebagai kumpulan ‘Black Widow’.

Mereka rata-rata merupakan balu mangsa kekejaman pasukan keselamatan Russia di wilayah Kaukasus Utara, Chechnya dan Dagestan.

Mereka dikatakan pernah kehilangan suami, anak atau saudara rapat lelaki, dalam pergolakan dan peperangan antara pejuang pembebasan wilayah Kaukasus dengan pasukan keselamatan Russia sejak tahun 1994.

Anggota kumpulan ‘Black Widow’ dikatakan masih merasa kesedihan yang mendalam atas kehilangan orang tersayang dan bertambah bersemangat untuk membalas dendam terhadap pemimpin dan pasukan keselamatan Russia.

Sementara itu sumber siasatan menyatakan bahawa pasukan keselamatan Russia sudah mengenali dan sedang memburu seramai 19 orang lagi anggota ‘Black Widow’ yang dikatakan sedang menunggu masa untuk bertindak melancarkan serangan seterusnya.

Dagestan dan Ingushetia Terus Bergolak

Menteri Dalam Negeri Russia, Rashid Nurgaliyev, mengesahkan dua pengebom berani mati, seorang daripadanya menyamar sebagai pegawai polis, meletupkan dua bom menyebabkan 12 orang termasuk sembilan anggota polis terbunuh dan 18 orang lagi cedera di Dagestan, selatan Russia pada 31 Mac lalu.

Dalam kejadian pertama, sebuah kereta yang sedang diekori oleh polis, meletup di bandar Kizlyar berhampiran dengan sempadan Chechnya, ketika polis cuba menahan kereta tersebut.

Sejurus kemudian, ketika polis dan penyiasat sedang menghampiri kawasan letupan, seorang pengebom berani mati yang memakai pakaian seragam polis menghampiri kawasan itu dan meletupkan bom yang dibawa.

Antara mereka yang terkorban dalam kejadian kedua itu termasuk Ketua Polis Bandar Kizlyar.

Sementara itu di luar Ibu Pejabat Polis Bandar Ingush, Karabulak, dua pegawai polis terbunuh dan seorang lagi pegawai polis cedera selepas seorang pengebom berani mati meletupkan diri.

Pengebom berani mati tersebut meletupkan diri bila polis cuba menahannya daripada memasuki balai polis tersebut pada jam 8.

20 waktu tempatan.

Revolusi Rakyat Kyrgyzstan

Lima tahun lalu, menerusi rampasan kuasa dalam Revolusi Tulip, pemimpin Kyrgyzstan pertama selepas era Kesatuan Soviet, Askar Akayev, ditumbangkan oleh Kurmanbek Bakiyev.

Kini giliran Kurmanbek Bakiyev yang telah menjadi Presiden, ditumbangkan oleh Roza Otunbayeva yang disokong oleh tentera, dalam satu gerakan rampasan kuasa.

Kurmanbek Bakiyev telah melarikan diri keluar dari ibu kota Bishkek, setelah pasukan tenteranya melepaskan tembakan ke arah 5,000 penunjuk perasaan dalam satu revolusi rakyat.

Sekurang-kurangnya seramai 82 penunjuk perasan terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera dalam kejadian berdarah tersebut.

Rakyat bangkit membantah antara lain isu kerajaan Kurmanbek Bakiyev membenarkan pasukan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggunakan pangkalan tentera udara Manas di utara ibu kota Bishkek untuk melancarkan operasi menentang Taliban di Afghanistan.

Kyrgyzstan juga masih membenarkan tentera Russia terus berada dalam pengkalan mereka di bumi Kyrgyzstan.

Peristiwa tentera Kyrgyzstan di bawah kuasa Kurmanbek Bakiyev menembak ke arah rakyat bukannya kali pertama berlaku.

Beberapa bulan setelah peristiwa Revolusi Tulip dalam tahun 2005, tentera juga telah menembak ke arah penunjuk perasaan yang melancarkan demonstrasi antikerajaan di bandar Andizhan dalam Lembah Ferghana.

Dalam peristiwa tersebut, kerajaan melaporkan seramai 187 orang terbunuh, namun, beberapa pertubuhan hak asasi manusia melaporkan jumlah penunjuk perasaan yang terbunuh adalah lebih ramai.

Krisis berdarah Kyrgyzstan kini menggugat kestabilam Asia Tengah.

Perkembangan revolusi rakyat Kytgyzsatan yang sedang menarik perhatian rakyat negara-negara lain di Asia Tengah dikhuatiri bakal mempenggaruhi pemikiran rakyat negara serantau.

Tentera AS yang berpangkalan di Utara Bishkek, belum terjejas namum pegawai AS terus memantau keadaan dan sentiasa berwaspada.

Penutup

Selepas kejadian pengebom berani mati beragama Islam meletupkan bom di khalayak di Moscow, ramai rakyat Russia mulai mencurigai penduduk Islam yang lain.

Kejadian tersebut kini telah menimbulkan ’Islamic Fobia’dan sasaran perasaan marah mereka ditujukan kepada sesiapa saja wanita Islam yang ditemui.

Dalam satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini, seorang remaja perempuan, Nargiza, berketurunan separuh Armenia, dibelasah dengan teruk oleh orang awam.

Sentimen kebencian dan sifat marah serta anti-Islam membuatkan mereka dengan tanpa belas kasihan memukul, menarik rambut, mencederakan muka dan bajunya dikoyakkan.

Mereka menyangka Nargiza adalah Islam berdasarkan kulitnya yang gelap.

Penduduk awam lain yang melihat kejadian tersebut tidak cuba menyelamatkan Nargiza bahkan bersorak menggalakkan lagi keganasan yang dilakukan orang awam terhadap seorang yang disangka Islam.

Mereka merakamkan kejadian dengan telefon bimbit mereka sambil menjerit ’Teruskan! Hapuskan seorang syahid’.

Mereka mengelar pengebom berani mati sebagai ’Syahid’.

Selain Nargiza, dalam satu kejadian berasingan, dua wanita bertudung dibelasah oleh orang awam berkulit putih dalam kereta api dan dihumban keluar.

Tiada siapa pun membantu mereka.

Pemimpin Russia berhak mengutuk perbuatan pengebom berani mati dan mengelar mereka sebagai penganas.

Namun, kajian pakar psikologi, dari kumpulan pejuang hak asasi manusia, Anne Speckhard dan Khapta Akhmedova terhadap 47 anggota Black Widow, mendedahkan bahawa tektik kejam tentera terhadap penduduk awam Chechnya termasuk wanita, sebenarnya menggalakkan lagi pertumbuhan kumpulan Black Widow.

Wanita Chechnya yang pernah melihat saudara lelaki mereka dibunuh dan diseksa dengan kejam oleh tentera Russia atas alasan mencari dan menghapuskan pejuang serta menyaksikan maruah saudara wanita mereka dijatuhkan di depan mata, menguatkan tekad mereka untuk menjadi anggota Black Widow.

Selain itu, ramai wanita Chechnya dipaksa menjadi hamba nafsu syaitan tentera Russia, dirogol tanpa belas kasihan.

Mereka cuba membalas dendam terhadap tentera Russia, dengan sukarela menjadi anggota Black Widow.

Namun sering kali mereka tersasar dan yang selalu menjadi mangsa ialah orang awam yang tidak terbabit dengan keganasan tentera Russia.

PDF Keseluruhan Keluaran 186

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF