Sudut Inspirasi
Nur Nazurah terima biasiswa Tuanku Mizan
Penulis: Lt Kol Mohd Nasir Hj Mohd Dom  Tarikh Kemaskini: 1 Jun 2010
Gambar: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Semangat ingin berusaha dan tidak mengenal menyerah membuatkan adik Nur Nazurah Mohd Nasir berjaya di dalam pelajarannya sehingga tahap yang tertingggi dan juga mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengurniakan biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada 12 penuntut Institut Pengajian Tinggi yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Istiadat telah berlangsung di Dewan Kecil Istana Negara dimulakan dengan pengurniaan biasiswa pengajian peringkat doktor falsafah kepada enam penuntut yang melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Seorang dari enam orang penuntut di peringkat doktor falsafah tersebut ialah Nur Nazurah Mohd Nasir, anak kepada Lt Kol Mohd Nasir Hj Mohd Dom, Setiausaha Lembaga Sukan TD.

Nur Nazurah dilahirkan di Hospital Seremban di dalam sebuah keluarga tentera.

Sebagai seorang anak pegawai tentera, perpindahan merupakan asam garam yang tidak dapat dielakkan yang mengheret beliau dan keluarga turut berpindah dan ini sedikit sebanyak menganggu pembelajaran beliau namun diatas berkat usaha yang tinggi dan jitu telah membuatkan beliau cemerlang dalam meniti jambatan ilmu.

Sokongan serta dorongan dari kedua ibubapa menyemarakkan kemahuan untuk membuktikan kejayaan boleh dicipta walau di mana berada dengan apa jua cara.

Pada tahun 1997 beliau telah muncul sebagai salah seorang dari dua pelajar di W.

P Labuan yang berjaya didalam peperiksaan PTS yang melayakkan beliau melangkau kelas ke darjah 5 dari darjah 3.

Meneruskan kejayaannya, beliau berjaya memperoleh 5A di dalam peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada tahun 1999 dan mendapat 8A didalam peperiksaan PMR pada tahun 2002 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Terendak, Melaka.

Pada tahun 2004 Nur Nazurah sekali lagi mengulangi kejayaan di dalam peperiksaan SPM dengan 9A (straight A) di MRSM Jasin, Melaka (kini dikenali sebagai MRSM Tun Ghafar Baba) dan ditawarkan mengikuti Program Cemerlang MARA di UTM, Skudai, Johor Bahru berdasarkan keputusan percubaan SPM yang cemerlang.

Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bio-Perubatan dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 2009 pada usia 21 tahun serta menjadi graduan cemerlang dan ditawar melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Beliau yang mahir berbahasa Inggeris, Cina dan Jerman begitu aktif di dalam bidang sukan serta persatuan yang mana terbukti apabila beliau menyandang beberapa jawatan diantaranya pengerusi, pengurus pasukan serta pemain softball UTM diperingkat Majlis Sukan Antara Universiti dan di antara kolej selama empat tahun berturut-turut.

Antara jawatan lain yang turut disandang beliau ialah sebagai Naib Presiden Golden Key International Honour Society, Ketua Eksekutif Korporat Karnival Kerjaya UTM, Kelab Kaunseling dan Kerjaya, TINTEC, PELTAC 2007, Pengarah program renang kelab A-Team dan Jawatankuasa Pelaksana Briged Bencana Mangsa Banjir.

Semoga kejayaan dan semangat juang Nur Nazurah menjadi inspirasi dan contoh kepada anak-anak anggota tentera yang sedang meniti ke menara gading dan menjadikan beliau sebagai inspirasi untuk berjaya di dalam bidang yang diceburi.



PDF Keseluruhan Keluaran 186

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF