Kecederaan bahagian mulut
sering berlaku ketika bersukan atau apabila terlibat di dalam kemalangan.
Kajian menunjukkan
antara 15 hingga 40 peratus kecederaan di bahagian mulut berlaku semasa bersukan terutama aktiviti sukan lasak seperti tinju, hoki, papan luncur, kasut roda dan lumba basikal.
Langkah-langkah pencegahan perlu diambil untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko kecederaan pada muka serta bahagian mulut di mana kecederaan
yang berlaku seringkali boleh mengakibatkan kecacatan kekal.
Pelindung Mulut
Pemakaian pelindung mulut diwajibkan
untuk sukan lasak serta aktiviti rekreasi seperti memanjat gunung.
Ianya dapat melindungi bahagian-bahagian mulut seperti lidah, pipi serta tisu lembut mulut dari kecederaan.
Selain dari itu juga ia dapat mengelakkan kecederaan kepada gigi seperti gigi patah atau longgar akibat dari kemalangan semasa bersukan.
Pelindung Mulut adalah satu alat plastik yang dipasang pada rahang gigi.
Kebiasaannya, alat ini digunakan
untuk melindungi gigi rahang atas sahaja.
Walau bagaimanapun individu yang mengunakan aplians tetap ortodontik atau prostetik kekal di gigi rahang bawah juga memerlukan pelindung mulut untuk rahang bawah.
Jenis-jenis pelindung mulut adalah seperti berikut iaitu pelindung
mulut sedia ada (ready-made) yang terdapat di kedai sukan atau di farmasi.
Ianya tidak sesuai dari segi tahap perlindungan kecederaan
di sebabkan ia tidak mengikut saiz rahang individu dan payah untuk mendapatkan kepadanan walaupun setelah diubahsuaikan.
Pemakai akan rasa tidak selesa dan juga boleh mengalami kesesakan nafas disebabkan oleh ketebalan alat tersebut.
Pelindung mulut yang boleh diubahsuai
(mouth-formed) diperbuat dari bahan ‘thermoplastik’.
Oleh itu ia boleh dilembutkan dengan merendam di dalam air panas dan diubahsuai di dalam mulut individu dan pelindung mulut Khas (custom-
fitted) dibuat diklinik pergigian mengikut saiz rahang individu.
Alat ini difabrikasi menggunakan acuan gigi individu dan dibuat dengan mesin vakum khas.
Jenis pelindung mulut ini sangat disyorkan kerana ia memberi keselesaan perlindungan yang amat berkesan sekali.
Ia juga tidak menganggu pertuturan serta pernafasan.
Untuk menjaga pelindung mulut, anda perlu membilas dengan air atau bahan ubat kumuran sebelum dan selepas menggunakannya serta bersihkan dengan berus gigi sebelum
menyimpannya di dalam bekas tidak kedap udara.
Elakkan dari terdedah kepada suhu panas, air panas atau menjemur
terus di bawah sinaran matahari.
Gigi Teravuls (avulsi gigi) merupakan keadaan di mana gigi terkeluar sepenuhnya dari soket akibat kecederaan.
Kecederaan kepada muka dan gigi di kalangan kanak-kanak sering berlaku ketika baru hendak belajar berjalan atau kemalangan
seperti jatuh basikal, jatuh tangga dan sebagainya.
Adalah amat penting bagi ibubapa,
penjaga dan guru mendapat akses kepada nasihat yang bersesuaian
mengenai pengurusan gigi teravuls.
Masa adalah penting dan maklumat ini boleh diberi melalui telefon.
Jika berlaku ‘avulsi gigi’ iaitu di mana gigi terkeluar sepenuhnya dari soket anda boleh cuba cari gigi yang tanggal itu di kawasan kejadian.
Periksa juga pakaian pesakit.
Kadang-kadang gigi yang tanggal terdapat di celah-celah lipatan pakaian pesakit.
Jika gigi bersih, tanam gigi tersebut
serta merta ke dalam soketnya.
Pastikan gigi tersebut dipasang dengan
betul dan tidak terbalik.
Guna foil aluminium supaya gigi tidak terkeluar dari soketnya atau suruh pesakit gigit perlahan sapu tangan atau kain bersih.
Dapatkan rawatan di hospital atau klinik pergigian dengan
segera.
Sekiranya gigi itu kotor, bilaskan gigi tersebut di bawah air bersih yang mengalir atau susu tanpa menggosok atau mengusik gigi terutama
dibahagian akar gigi.
Kemudian
tanam gigi tersebut ke dalam soket.
Sekiranya tidak dapat ditanam,
simpan gigi samada di rendam dalam susu yang mana paling sesuai susu yang telah dipasteur (steril), larutan saline (contoh : larutan kanta lekap), balut dengan plastic cling wrap di dalam mulut pesakit dan jangan rendam di dalam air kerana kerana ia akan menyebabkan sel-sel akar gigi mati.
Dapatkan rawatan di hospital atau klinik pergigian dengan segera kerana masa adalah penting.
Lebih cepat gigi tersebut ditanam, lebih tinggi peluang untuk gigi tersebut diselamatkan.
Hanya gigi kekal sahaja
yang boleh ditanam semula ke dalam soket jika terkeluar.
Gigi desidus tidak digalakkan kerana boleh mencederakan pertumbuhan gigi kekal.
PDF Keseluruhan Keluaran 186
|
|
|