 |
Sejarah akan berulang dan akan terus berulang selagi wujud bulan dan bintang.
Begitulah juga halnya
dalam perhubungan dua hala Malaysia Indonesia, kini kembali tegang akibat tindakan liar segelintir rakyat Indonesia yang tidak bertanggungjawab, yang mahukan hubungan akrab dua negara serumpun menjadi renggang.
Bukan pertama kali perkara sedemikian berlaku kerana sejak zaman Majapahit lagi sudah bermula perasan cemburu Indonesia dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Taming Sari dan Pateh Kerma Wijaya merupakan watak yang penting dalam sejarah perilaku Indonesia terhadap Kesultanan Melayu Melaka.
Ketika era pemerintahan Presiden Sukarno,
menjelang menubuhan Malaysia yang turut merangkumi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura, Indonesia
mula melancarkan serangan melalui media terhadap Malaysia.
Pelbagai isu remeh digembar-gemburkan oleh media Indonesia sehingga mencetuskan perasaan benci rakyatnya
terhadap Malaysia.
Media Indonesia turut mempermain dan mempersendakan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ yang dikatakan diciplak oleh pemimpin Malaysia (Semenanjung
Tanah Melayu ketika Merdeka pada tahun 1957) dari lagu ‘Terang Bulan’ yang dikatakan berasal dari Indonesia.
Sebenarnya lagu ‘Terang Bulan’ adalah adaptasi lagu Perancis ‘La Rosalie’ ciptaan Pierre-Jean de Berenger (1780-1857) yang popular di kepulauan Sychelles, tanah jajahan
Perancis di Lautan Hindi, ketika Sultan Abdullah, Sultan Perak yang dibuang negeri oleh Inggeris di kepulauan tersebut pada akhir kurun Ke-19.
Sultan Abdullah ketika kembali ke Perak, sering menyanyikan lagu ‘Terang Bulan’ sehingga dipilih sebagai lagu Negeri Perak dengan nama ‘Allah Selamatkan
Sultan’.
Seterusnya irama lagu tersebut telah dipilih oleh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai lagu kebangsaan ‘Negaraku’ semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada tahun1957.
Presiden Sukarno yang tidak bersetuju serta tidak dapat menerima penubuhan Malaysia,
turut menubuhkan Komando Ganyang Malaysia pada tahun1963 dan melancarkan konfrontasi ketenteraan terhadap Malaysia.
Tentera Indonesia telah menceroboh perbatasan
negara melalui jalan darat, laut serta udara.
Namun gerakan konfrontasi ketenteraan
Indonesia terhadap Malaysia telah dapat dipatahkan oleh Malaysia hasil daripada gabungan tenaga Angkatan Tentera Malaysia
dengan bantuan tentera Komenwel dari Britain, Australia dan New Zealand.
Rakyat Malaysia sendiri khasnya pasukan Pengawal Kampung juga telah memainkan peranan penting dalam mengawal keamanan negara ketika itu.
Tarian Pendet Dari
Kepulauan Bali
Isu tarian Pendet telah dibesar-besarkan oleh media Indonesia serta beberapa NGOnya
menyebabkan kebangkitan kemarahan rakyatnya.
Rata-rata blog-blog yang tidak dikenali pemiliknya seterusnya melancarkan serangan ‘ganyang Malaysia’.
Demonstrasi yang sememangnya sudah menjadi senario biasa di Indonesia bertukar ganas setelah melancarkan slogan ‘Sweeping Malaysia’ atau ‘Sapu Orang Malaysia”.
Beberapa kumpulan tunjuk perasaan telah menahan kenderaan di Jalan Diponegoro, Jakarta, untuk mencari rakyat Malaysia.
Ramai lagi anggota kumpulan tersebut membawa senjata buluh runcing untuk menunjukkan kesanggupan mereka untuk memerangi Malaysia.
Bahkan pelbagai senjata
yang terdapat di Indonesia turut disebut akan digunakan dalam operasi Ganyang Malaysia.
Antara yang disebut ialah Rencong Aceh, Panah Papua, Pedang Pattimura, Mandau
Kalimantan, Keris Jawa, Kujang Sunda, Golok Betawi, Badik Palembang dan Pedang Sisingamagara.
Semua senjata yang disebut merupakan senjata lama yang kini kebanyakannya
digunakan sebagai perhiasan dan dalam aturcara adat istiadat lama.
Sebenarnya Malaysia tidak pernah menuntut yang tarian Pendet itu berasal dari Malaysia.
Bahkan kejadian di mana tarian tersebut yang terselit dalam promo iklan yang disiarkan oleh saluran ‘Discovery’ sudahpun terjawab dengan penjelasan Discovery
Networks Asia Pasifik yang beroperasi di Singapura.
Sememangnya tarian Pendet merupakan tarian istiadat keagamaan masyarakat
Pulau Bali yang beragama Hindu dan sudah tentu berasal dari tanah besar India di mana agama Hindu bermula.
Pelajar Malaysia
di Jakarta Terancam
Di Jakarta terdapat hampir 1,000 pelajar Malaysia yang sedang menghadiri kuliah di beberapa universiti dalam pelbagai bidang.
Mereka mengambil langkah berwaspada dan ada yang menyembunyikan identiti sebagai
rakyat Malaysia kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Mereka juga mengelak daripada berada di tempat awam di luar kampus kerana tindakan kumpulan pendemonstran
yang bersenjata buluh runcing yang cuba mencari dan mengusir rakyat Malaysia dari bumi Indonesia.
Pelajar-pelajar wanita dinasihatkan supaya tidak memakai baju kurung yang menampakkan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia untuk tidak mengundang kecelakaan yang tidak diperlukan.
Provokasi media Indonesia berjaya mempengaruhi golongan tertentu khasnya mereka yang berpendidikan rendah, yang membuatkan mereka memandang sinis terhadap
pelajar Malaysia di Jakarta.
Setiap hari pelajar kita menghadapi kata-kata sindiran berkaitan lagu ‘Negaraku’, isu ‘mencuri’ tarian Pendet, penderaan pembantu rumah, pekerja Indonesia dalam industri pembangunan dan pertanian di Malaysia serta beberapa isu yang lain.
Kedutaan Besar Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia telah menubuhkan sebuah organisasi bagi memantau kegiatan semua pelajar serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada pelajar.
Dalam pada itu rata-rata pelajar Malaysia di Jakarta berharap kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia
dapat menyelesaikan dengan segera isu Sapu Malaysia, supaya mereka dapat meneruskan pengajian mereka dengan selesa
dan selamat.
Namun terdapat juga ramai pelajar Malaysia yang masih trauma dengan ancaman keselamatan serta ingin pulang dan menyambung pengajian di tanah air.
Adalah difahamkan bahawa ancaman keselamatan akibat gerakan Sapu Malaysia yang dilancarkan oleh ekstrimis di Jakarta, telah memberi kesan terhadap industri pelancongan
Indonesia sendiri kerana banyak tempahan lawatan pelancong luar negara mula dibatalkan.
Pembatalan kedatangan pelancong memberi kesan buruk kerana ramai rakyat Indonesia bergantung hidup kepada industri tersebut.
Rakyat Malaysia pula menganggap kota Jakarta, Jogjakarta dan Bandung sebagai syurga membeli-belah kerana harga ringgit Malaysia adalah tinggi dan harga barangan kota-kota Indonesia dikira
murah dan amat berpatutan.
Bagaimanpun rakyat Malaysia yang ingin melancong serta membeli-belah boleh menuju ke Thailand, Kampuchea atau Vietnam.
Hubungan Serumpun
Perhubungan Malaysia Indonesia merupakan
hubungan tradisi yang sudah lama terjalin sejak zaman Sriwijaya pada abad ke-7 lagi.
Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dikisahkan bermula di Sri Andalas, di Bukit Seguntang, Sumatera.
Sejak dari itu hubungan rakyat dengan rakyat khasnya pedagang sudah terjalin.
Bahkan penduduk kedua negara Malaysia dan Indonesia menyifatkan
hubungan mereka sebagai hubungan serumpun yang membawa maksud serupa, sama ataupun dalam satu ikatan.
Rakyat Indonesia keturunan Aceh, Mendaling
dan Minang sudah lama menyeberang Selat Melaka dari Sumatra, diiktiraf sebagai bangsa Melayu, bumiputra dan kini telah menjadi rakyat Malaysia.
Ramai daripada mereka menjadi tokoh dalam sejarah Malaysia
serta memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.
Mereka juga diikuti oleh keturunan Banjar, Boyan (Bawean), Bugis dan Jawa, yang juga berasimilasi sebagai bangsa Melayu.
Bahasa pertuturan ‘lingua franca’ rakyat Malaysia dan Indonesia adalah bahasa Melayu
yang kini digunakan oleh lebih 300 juta orang di alam nusantara.
Bahkan rata-rata rakyat Malaysia dan Indonesia mengamalkan agama Islam sebagai agama rasmi serta mempunyai budaya yang hampir serupa.
Sambil itu, Malaysia pula sebenarnya merupakan lubuk rezeki bagi rakyat Indonesia.
Terdapat seramai 1.8 juta rakyat Indonesia
(berdaftar) yang bekerja di Malaysia, kebanyakannya dalam bidang pembinaan, perladangan serta sebagai pembantu rumah.
Hampir sejuta lagi bekerja secara haram dan semua mereka menganggap bumi Malaysia sebagai lubuk rezeki.
Dalam kemelut pembantu rumah yang digembar-gemburkan oleh media Indonesia dan media asing, seramai 10,000 wanita Indonesia terus mendaftar dengan agensi-agensi pekerjaan untuk mendapatkan peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
Mereka benar-benar memerlukan pekerjaan di Malaysia kerana kesempitan hidup dan kebanyakan mereka adalah daripada golongan miskin
Gambaran yang diberikan oleh jumlah banduan rakyat Indonesia dalam penjara di Malaysia iaitu seramai 8,000 orang daripada 15,000 banduan rakyat asing, amat mudah.
Ramai daripada mereka, yang masuk samada
secara halal ataupun secara haram di bumi Malaysia untuk mencari rezeki, datang untuk melakukan jenayah berat termasuk membunuh, merompak dan menyamun.
Mereka tidak kekok melakukan rompakan bersenjata hingga ramai rakyat Malaysia yang terbunuh dan cedera.
Namun kita tetap mengalu-alukan mereka yang benar-benar datang untuk mencari rezeki halal, khasnya pekerja di bidang pembinaan, perladangan serta sebagai pembantu rumah.
Ganyang Malaysia
Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) baru-baru ini telah cuba menghidupkan semula ungkapan ‘Ganyang Malaysia’ yang pernah digunakan oleh Presiden Soekarno pada tahun 1963 ketika peristiwa Konfrontasi
Indonesia /Malaysia (1963-1966).
Media Indonesia serta media asing di Jakarta, hampir setiap hari menyiarkan berita serta rencana sensasi yang telah menimbulkan rasa kebencian rakyat Indonesia terhadap rakyat Malaysia.
Segala macam tuduhan dan tomahan dibangkitkan oleh pihak tertentu di Indonesia menyebabkan rakyat Indonesia bangkit berarak dan menunjuk perasaan semangat anti-Malaysia.
Kebebasan media Indonesia dan media asing di Jakarta menggambarkan
semacam tahap kebencian baru rakyat Indonesia terhadap rakyat Malaysia seolah-olah mereka akan menyerang dan menghancurkan Malaysia dalam gerakan konfrontasi yang terancang.
Golongan di Indonesia yang mempunyai agenda tertentu dalam perhubungan dua hala Malaysia/Indonesia, harus ingat peritiwa ‘Konfrontasi’ 1963-1966 yang lalu.
Ketika itu, Presiden Soekarno dengan sombong mendabik
dada, berkata “Sebelum ayam berkokok pada Subuh 1 Januari 1965, Malaysia akan hancur“.
Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya, Presiden Soekarno pula yang digulingkan oleh tentera.
Pada awalnya tentera
Indonesia yang dihantar untuk ‘Ganyang Malaysia’ melalui udara, laut dan darat, berjaya
menembusi sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak Di Sabah dalam peristiwa ‘Kalabakan’ pada 29 Disember 1963, seramai 35 anggota
tetap Tentera Indonesia bersama 128 anggota tentera sukarela telah menyerang kedudukan pasukan platun Batalion Ketiga, Rejimen Askar Melayu (3RMR).
Platun 3RMR mengalami lapan terbunuh (termasuk Ketua Kompeni, Mej Zainal Abidin) dan 16 anggota mendapat cedera.
Selepas peristiwa itu, pasukan
1/10 Gurkha Rifles, telah digerakkan ke Kalabakan dan dalam masa sebulan mereka berjaya menghapuskan hampir keseluruhan anggota tentera Indonesia terbabit, tetap dan sukarela, dibunuh, ditawan ataupun menyerah
diri.
Dalam satu peristiwa di Negeri Johor, pada 28 Februari 1965, Komando Tentera Indonesia dari Kepulauan Riau, berjaya menyusup masuk melalui laut dan telah menyerang kedudukan Platun 7 Batalion Kedua Singapore Infantry Regiment (2 SIR) di Kota Tinggi.
Platun 7, 2 SIR telah mengalami sembilan terbunuh dan enam cedera.
Mayat mereka yang terbunuh telah dikerat-kerat oleh Komando Tentera Indonesia.
Selepas peristiwa itu, Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak, telah mengarahkan Brig Jen Ibrahim Ismail, kini Jeneral Tun Ibrahim Ismail (Bersara),
supaya melancarkan operasi pembersihan
di Johor.
Dalam masa kurang tiga minggu menjalankan
Operasi Mencari dan Memusnah, semua anggota Komando Tentera Indonesia tersebut telah berjaya dibunuh, ditawan atau menyerah diri.
Batalion 2SIR telah berjaya menuntut bela kematian rakan-rakan mereka.
Mereka juga berjaya menemui semula semua senjata yang hilang terdahulu.
Pingat Panglima Gagah
Berani (PGB)
Sebenarnya pegawai dan anggota ATM telah menunjukkan keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam memerangi tentera Indonesia ketika Konfrontasi.
Seramai tiga pegawai ATM telah dianugerahkan dengan pingat keberanian setelah berjaya mengalahkan
dan menghapuskan pencerobohan tentera Indonesia.
Mereka yang telah dianugerahkan
dengan pingat keberanian PGB ialah Lt M Kamaruddin bin Abd Jamal, Ketua Platun 11, Kompeni C, 6 RAMD, yang berjaya
membunuh empat penceroboh tentera Indonesia dalam pertempuran di Kampung Pradin, Pontian, Johor, pada 21 Ogos 1964.
Turut dirampas empat senjata automatic buatan Soviet, sepucuk pistol, peluru dan empat biji bom tangan.
Lt M Abdul Kadir Nordin, Ketua Platun Kompeni C, 4 RAMD, berjaya membongkar pakatan antara Parti Komunis Indonesia (PKI) dan Parti Komunis Malaya (PKM) ketika Konfrontasi.
Dalam satu operasi Mencari dan Memusnah penceroboh Tentera Indonesia di Kota Tinggi, beliau telah menawan seramai lima musuh yang sedang bersembunyi dalam sebuah rumah kongsi.
Mereka terdiri dari empat
komando Tentera Indonesia dan seorang berbangsa Cina rakyat Malaysia (ahli PKM) yang mendapat latihan ketenteraan di Irian Barat.
Rakyat Malaysia berbangsa Cina itu turut
menyeludup masuk ke Malaysia bersama komando Tentera Indonesia dalam kempen ‘Ganyang Malaysia’.
Seterusnya, laporan diterima berkaitan pendaratan 28 anggota Komando Indonesia, KKO, di Penggarang, Johor.
Platun LtM Abdul Kadir telah dikerahkan dalam operasi Mencari
dan Memusnah dekat pantai Kampung Punggai, Penggarang.
Beliau telah berjaya menawan seorang ketua gerombolan yang mendarat di Penggarang bernama Titaley.
Atas semangat juang dan keberanian yang ditunjukkan oleh Lt M Abdul Kadir, beliau telah dianugerahkna dengan pingat keberanian PGB oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agung pada 8 Jun 1966.
Pulau Sebatik dekat Tawau, Sabah, merupakan lokasi panas ketika Konfrontasi.
Pasukan 7 RAMD sedang beroperasi di Pulau Sebatik sementara Markas Kompeni berpangkalan di Kampung Jawa, Tawau.
Mej Ismail Ghows, Ketua Kompeni Markas, bersama hampir 100 ‘bottle-washer’ anggota tinggal belakang serta Penolong Pegawai Memerintah, doktor dan Ejutan mendapat maklumat bahawa sekumpulan anggota Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) sedang berkumpul di atas sebuah bukit dekat Tawau.
Mereka telah mengepung dan mencari anggota TNKU tersebut dalam hujan bermula jam 0800 malam sehingga jam 1200 malam, namun tidak jumpa, seolah-olah mereka hilang ditelan kegelapan malam.
Ketika melalui sebatang anak sungai, Mej Ismail terus mencari-cari musuh dengan diterangi cahaya lampu suluh.
Beliau terlihat seperti tiga ranting kayu bergerak-gerak di permukaan air dan setelah diteliti, rupanya ranting itu adalah laras senjata.
Sebentar kemudian
beberapa anggota TNKU yang menyelam,
bingkas bangun dari dalam sungai dan Mej Ismail tanpa mengira keselamatan diri terus terjun ke dalam sungai sambil melaungkan
‘Allahuakbar’.
Beliau bergelut dengan musuh dan kemudian seramai enam anggota TNKU terus menyerah diri.
Mereka terdiri dari seorang berpangkat Mejar, seorang Kapten, seorang Leftenan serta tiga askar termasuk seorang perajurit wanita.
Setelah pasukan anggota pasukan membawa
enam musuh yang ditawan balik ke pangkalan, Mej Ismail masih bersendirian di tepi sungai beristighfar dan bertafakur sambil memikirkan tindakan nekad yang telah dilakukan.
Dalam kegelapan malam itu beliau melihat dua lembaga merangkak ke arahnya dan Mej Ismail terus mengarahkan mereka berdua supaya menyerah diri jika tidak mahu ditembak.
Pada keseluruhannya Mej Ismail Ghows berjaya menawan lapan pegawai dan anggota TNKU dan atas kejayaan tersebut beliau telah dianugerahkan dengan Pingat PGB pada 7 Jun 1967.
Sebenarnya banyak lagi peristiwa dan pertempuran ketika Konfrontasi di mana anggota
pasukan ATM dan pasukan keselamatan yang lain telah menunjukkan keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan
keamanan dan keselamatan negara.
Begitu juga rakyat Malaysia khasnya pasukan ‘Pengawal Kampung’ turut seiring berani berkorban nyawa untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara yang tercinta.
Rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri membiarkan kemakmuran negara diancam oleh sesiapa.
Usahlah kumpulan ‘Bendera’ Indonesia, cuba untuk menguji taat setia serta kecintaan pada negara yang tersemat di hati rakyat Malaysia.
Pesepsi Negatif Media
Luar Negara
Pelbagai pesepsi negatif terhadap negara Malaysia disiarkan oleh media luar negara dan terdapat sesetengah pihak sengaja mensensasikan perkara remeh-temeh.
Berjuta
rakyat Indonesia bekerja di luar negara dan berbagai perkara berlaku terhadap mereka.
Ramai rakyat Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah didera oleh majikan
mereka di Arab Saudi dan Singapura.
Terdapat ada yang mati kena dera, namun tidak dibesar-besarkan oleh media di Indonesia.
Sebaliknya jika berlaku di Malaysia, walaupun tidak hingga terbunuh, media asing seolah berpesta.
Sebenarnya lebih ramai majikan di Malaysia yang menjadi mangsa kejahatan yang dilakukan oleh pembantu rumah Indonesia, namun media kita tidak sensasikan.
Setiap kali sesuatu isu timbul, perlu ditangani
dengan segera sebelum merebak dan berpanjangan.
Media perdana negara perlu memainkan peranan dengan lebih aktif supaya pesepsi negatif dapat diperbetulkan.
Perkara sebenar perlu disiarkan dengan meluas supaya pihak-pihak yang mempunyai
agenda tersendiri tidak berpeluang untuk mengeruhkan keadaan.
Sebenarnya kehadiran ramai diplomat luar negara di Malaysia dapat membantu membetulkan pesepsi negatif yang melanda.
Mereka perlu sentiasa diberi ruang dalam media perdana dalam negara untuk memberikan komen dan ulasan agar dunia luar dapat memahami scenario
yang sebenar.
Diplomat Luar juga harus ditagih supaya membetulkan sebarang berita tidak benar di negara masing-masing.
Setiap laporan negatif di negara mereka, Diplomat Luar perlu memberi keterangan.
Penutup
Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang melancarkan gerakan ‘Ganyang Malaysia’,
bukanlah pendirian pemerintah atau keseluruhan rakyat Indonesia.
Bahkan kebanyakan
rakyat republik itu mempersoalkan tindakan Bendera yang telah mengeruhkan perhubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
Dalam pada itu kerajaan Indonesia yang memberi kebebasan mutlak kepada media harus mengambil tindakan wajar supaya sebarang tindakan mengada-adakan berita
yang tidak benar atau mensensasikan perkara remeh-temeh dikurangkan ataupun dihentikan terus.
Jangan dibiarkan anasir-anasir jahat merenggangkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
Kerajaan Indonesia juga harus bertindak terhadap rakyatnya yang melakukan provokasi
melampau supaya tindakan mereka dapat dibatas.
Kerajaan Indonesia harus sedar bahawa hampir tiga juta rakyatnya mencari rezeki di Malaysia secara halal dan juga secara haram.
Maka berbilion Ringgit Malaysia dihantar balik setiap bulan oleh pekerja untuk keselesaan keluarga mereka di Indonesia.
Janganlah disebabkan tarian Pendet, perhubungan Malaysia-Indonesia tergugat.
Janganlah disebabkan seorang dua pembantu rumah Indonesia di Malaysia
didera oleh majikan yang melampau, hubungan yang baik antara negara serumpun menjadi rosak.
Adalah dikuatiri, gembar-gembur oleh media asing berkemungkinan mainan kotor oleh pihak tertentu yang cemburukan perhubungan
baik antara Malaysia dan Indonesia.
Bukan sesuatu yang aneh jika terdapat negara asing yang gusar kerana dua buah negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia boleh berpadu tenaga menjadi satu kuasa besar ketika kemelut dunia Islam dengan negara-negara barat meruncing.
Rakyat Malaysia juga harus sedar keadaan
semasa supaya tidak terikut-ikut dengan
mainan media asing dan terjerumus ke dalam kancah gelora yang akan menggugat kestabilan kehidupan harian kita.
Keharmonian,
keamanan dan kesejahteraan negara kita wajib dipertahankan setiap masa setiap hari.
Harta milik negara perlu dipertahankan supaya anak cucu kita dapat merasainya di masa akan datang.
Dalam perhubungan dua hala dengan Indonesia, kerajaan dan rakyat Malaysia sentiasa cuba memelihara silaturahim dan sangat prihatin jiran di Indonesia ketika susah senang.
Sering kali ketika Indonesia dilanda bencana, kerajaan dan rakyat Malaysia merupakan
antara yang terdahulu datang untuk memberi bantuan.
Kita akan terus bertindak sedemikian walaupun berulang kali kita diledakkan
dengan kejadian yang menyakitkan hati.
Biarlah kita dilihat sentiasa mahukan pertalian perhubungan dua jiran negara Islam terus termaktub.
Adalah diharapkan janganlah lagu Terang Bulan terus dibangkitkan setiap kali timbul isu antara negara Malaysia dan Indonesia.