Profil Pasukan
KJLJD sambut HUT Ke-52 “Produktiviti Berkualiti”
Penulis: Kapt Mohamad Zariffi Azmi    Tarikh Kemaskini: 22 Disember 2009
Gambar: Kpl Nor Adzman Makhdzir
+ Email Artikel Ini!

Hari Ulang Tahun Kor Jurutera, Letrik Dan Jentera Diraja (KJLJD) adalah satu aktiviti tahunan yang disambut oleh seluruh warga kor.

Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang pada tahun ini merangkumi Seminar PTT Kanan, Majlis Tahlil, Perbarisan dan Penyampaian Perutusan Pengerusi Kor, Seminar Hari Latihan Pengarah, Kejohanan Golf REME Masters, Acara Boling (Isteri Pegawai-pegawai KJLJD) dan Majlis Malam Sirih Pulang Ke Gagang.

Pengerusi KJLJD, Mej Jen Dato’ Ir Mohd Salim Ali menyarankan agar semua peringkat pegawai dan anggota memupuk kesedaran diri kerana semua pencapaian dan kejayaan yang diperoleh bukannya datang dengan mudah, tetapi melalui pengorbanan oleh semua warga KJLJD.

Berusaha dengan lebih gigih bagi menentukan kejayaan terus dikecapi seiring dengan objektif umum KJLJD iaitu untuk menjadikan KJLJD sebuah organisasi yang cemerlang dan diiktiraf dalam memberi perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada Tentera Darat.

Tema sambutan pada tahun ini iaitu “Produktiviti Berkualiti” masih lagi relevan demi untuk mencapai objektif teras KJLJD, katanya ketika berucap di Perbarisan Hari Ulang Tahun KJLJD Ke-52 di Padang Kawad IJED, Kem Kampung Sawah, Port Dickson baru-baru ini.

Beliau turut menyeru agar seluruh warga KJLJD menjadikan kematangan usia kor yang telah mencapai usia 52 tahun dilalui dengan penuh keinsafan, perhatian dan iltizam bagi meneruskan usaha ke arah menjadikan KJLJD sebuah kor yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam memberi perkhidmatan kepada Tentera Darat sebagai pendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara.

Perbarisan yang dianggotai 14 pegawai dan 194 anggota diketuai oleh Mej Rosjohnny Md Sharif itu turut disaksikan oleh Brig Jen Dato’ Hj Mohd Affendy Abdullah, para pegawai dan anggota serta pesara-pesara JLJD.

Selain acara perbarisan, aktiviti lain yang turut diadakan sempena HUT pada kali ini adalah aktiviti kerohanian iaitu majlis tahlil yang diadakan bertempat di Madrasah Al-Hidayah IJED, Kem Kampung Sawah, Kejohanan Golf REME Masters 2009 yang telah diadakan di Port Dickson Golf & Country Club (PDGCC) melibatkan pegawai JLJ sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara, acara boling untuk isteri-isteri pegawai KJLJD serta Majlis Malam Sirih Pulang Ke Gagang.

Kesemua sambutan tersebut diadakan secara berperingkat mulai 12 Jul 09 sehingga 5 Ogos 09.

PDF Keseluruhan Keluaran 180

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF