Profil Pasukan
BERET MERAH KINI MENGENDALIKAN KENDERAAN BERANTAI
Penulis: Tim BTDM  Tarikh Kemaskini: 22 Disember 2009
Gambar: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Cogan kata “Sedia Berkhidmat” melambangkan tugas Polis Tentera atau lebih dikenali dengan gelaran wira merah, tidak terhad kerana wira merah sedia berkhidmat untuk bangsa dan negara tanpa mengira masa dan tempat.

Disiplin yang tinggi dan kecekalan hati yang tabah sememangnya menjadi komitmen bagi setiap warga wira merah.

Jika diimbau sejarah lampau setelah tamat Perang Dunia Kedua dan pendaratan semula Tentera British di Malaya, Kor Polis Tentera (India) telah memainkan peranan penting di dalam pemulihan negara.

Pada 4 Disember 1950 seramai sembilan anggota dari Rejimen Askar Melayu telah dilantik untuk mengambil alih tugas-tugas provos di dalam tentera.

Mereka yang memakai beret merah pada masa kini pasti berbangga dengan tahap logistik serba canggih dan moden mengikut peredaran zaman dalam segala aspek.

Memiliki disiplin yang tinggi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan tanggungjawab anggota serta pegawai terbabit.

Sebaik sahaja menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM), mereka yang dipilih sebagai anggota beret merah ini akan dilatih bukan sahaja mendisiplinkan anggota tentera dan menguatkuasakan peraturan tentera, malah menjalankan tanggungjawab sama seperti anggota lain sama ada di medan peperangan mahupun ketika aman.

Begitu juga dengan peranan dipertanggungjawabkan kepada 4 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) Mekanize atau ada yang menyebutnya MP Mekanize berpangkalan di Kuantan, Pahang.

Mereka adalah sebahagian daripada anggota dan pegawai beret merah atau Polis Tentera (MP).

Selama ini ramai mungkin beranggapan bahawa MP hanya bertanggungjawab menjaga disiplin pasukan tentera dan bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk kem-kem tentera di seluruh negara dan sebagai juruiring orang-orang kenamaan dalam Kementerian Pertahanan, namun ramai yang tidak mengetahui, peranan MP juga melibatkan tugasan di zon peperangan.

Satu perkara yang unik ialah 4 KPTD Mekanize merupakan pasukan MP yang mempunyai kemahiran mengendalikan kenderaan berantai seperti kereta kebal atau kereta perisai.

Ini termasuk pemanduan kenderaan Malaysia Infantry Fighting Vehicle (MIFV) oleh MP Mekanize.

Dengan kemahiran itu, tugasan MP Mekanize amat penting kerana ia melibatkan tanggungjawab sama ada ketika perang mahupun semasa aman.

Di zon perang, MP Mekanize juga mempunyai peranan tersendiri termasuk menjadi benteng pertahanan selepas pasukan barisan hadapan.

Namun, pasukan ini juga boleh digerakkan dalam keadaan tertentu termasuk sebagai barisan hadapan di samping sebagai benteng pertahanan terakhir jika musuh dapat membolosi benteng hadapan.

Pasukan 4 KPTD Mekanize memang sinonim dengan kenderaan MIFV.

Apabila terdapat pergerakan MIFV termasuk ketika latihan, pasti ada yang tertanya-tanya adakah sesuatu operasi sedang dijalankan oleh pasukan beret merah ini.

Pegawai Pemerintah 4 KPTD Mekanize, Mejar Stanley Fredrick, 32, anak kelahiran Kg Seratau Kuching Sarawak ketika ditemuramah wartawan BTDM, Sjn Saifun Hakimi Zainon dan Pbt Vijay Gaundar Arikrishnan memberitahu, antara peranan pasukan itu termasuk mengiringi konvoi kenderaan atau membawa logistik seperti bom dan peluru, memberi bantuan kepada pelarian perang, bantuan keciciran perang dan sebagainya.

Katanya, memandangkan pasukan itu berada di barisan kedua ketika berlaku peperangan atau di belakang zon tempur, ia secara langsung berperanan menghalang penyusupan musuh yang dapat membolosi barisan hadapan.

4 Kompeni KPTD Mekanize juga sebagai benteng pertahanan akhir bagi menghalang kemasukan musuh.

‘’Kita juga berperanan memberi bantuan kepada anggota dan pegawai yang keciciran ketika perang,’’ katanya.

Memandangkan peranannya yang penting, pasukan itu turut dilatih kemahiran kombat dalam menghadapi peperangan dan serangan musuh.

Menjadi anggota MP Mekanize bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap anggota dilatih cara pemanduan kenderaan MIFV.

Mereka ini dilatih mengendalikan kenderaan MIFV dalam pelbagai keadaan dan bentuk muka bumi.

Yang pasti, kenderaan MIFV itu boleh digunakan untuk pengangkutan anggota ke medan pertempuran.

Dalam keadaan terdesak, MIFV juga boleh digunakan untuk pertempuran.

Ini kerana kenderaan itu turut dilengkapi senjata seperti GPMG 7.62 dan HMG 12.7.

Menurut Mej Stanley, untuk memandu dan mengendalikan kenderaan MIFV, anggota MP Mekanize perlu menjalani latihan dan kursus khas bagi melayakkan mereka memiliki lesen pemanduan kelas A.

Katanya, lesen pemanduan kelas A bermaksud kebolehan memandu kenderaan berantai seperti kereta kebal.

‘’Kursus selama tiga bulan itu membolehkan seseorang anggota bergelar pemandu.

‘’Ini diikuti kursus lanjutan juga selama tiga bulan sebelum dapat bergelar Ketua Kereta,’’ katanya.

Di samping itu, anggota MP Mekanize turut berpeluang melanjutkan lagi kemahiran melalui kursus tambahan sebelum bergelar Koperal Mekanize.

Kursus Koperal Mekanize juga dikendalikan selama tiga bulan.

Kesemua kursus sebagai pemandu, Ketua Kereta dan Koperal Mekanize itu melibatkan pemanduan dalam pelbagai dimensi.

Ia melibatkan pemanduan di jalan raya, pemanduan lasak pelbagai bentuk muka bumi, taktikal, memandu pada waktu malam tanpa menggunakan cahaya lampu dan banyak lagi.

‘’Anggota-anggota ini juga dilatih memandu MIFV di permukaan air memandangkan kenderaan berantai ini boleh terapung,’’ katanya.

Selain pemandu, anggota MP Mekanize juga perlu mahir dalam pengendalian senjata dan komunikasi.

Dua kemahiran ini amat berguna terutama ketika di zon peperangan.

Semua kemahiran pemanduan itu sering dipraktikkan walaupun ketika aman.

Menjadi anggota MP Mekanize juga bermakna seseorang itu mempunyai pelbagai kemahiran termasuk dalam semboyan, mengendalikan senjata dan menyelia kenderaan terbabit.

Ketika ditemubual, Kapt Siti Kamariah, 28 Penolong Pegawai Pemerintah tugasannya bukan sahaja tertumpu kepada tugasan membantu Penolong Pegawai Pemerintah, malah beliau juga diamanahkan untuk memantau apa yang berlaku di setiap cawangan pasukannya, terutamanya keperluan Caw Logistik, Latih, Tadbir serta Cawangan Kenderaan.

Kapt Siti Kamariah Sulaiman 23, selaku Ketua Platun Keselamatan Fizikal menjelaskan berkhidmat di unit Mekanize agak berbeza kerana unit ini mengendalikan kenderaan berantai dalam sesuatu operasi yang dijalankan.

Mengikut pandangan PW 2 Ahmad Norashid Abd Karim, 41, menjawat jawatan Ketua Sarjan Mejar (KSM), menjelaskan 4 KPTD amat bertuah kerana telah diamanahkan untuk mengendalikan kenderaan MIFV, beliau merasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk bertugas sebagai KSM untuk melancarkan lagi pentadbiran kompeninya.

Bagi Sarjan Tuan Afandi Tuan Jaafar, 41, yang memegang jawatan Sarjan Kenderaan menjelaskan perbezaan kenderaan jenis A merupakan kenderaan yang dikelaskan kenderaan berat dan hanya individu tertentu sahaja yang boleh mengendalikannya manakala kenderaan B jenis kenderaan ringan.

Anggota yang telah menghadiri kursus akan melaksanakan latihan sambil kerja dan beliau sendiri akan membuat penilaian serta pemantauan untuk menentukan sama ada anggota layak atau tidak untuk mengendalikan kenderaan MIFV.

Sementara itu, seorang Koperal Mekanize, Lans Koperal Mohd Hisham Mohd Ibrahim, 27, melahirkan rasa bangga kerana mempunyai kemahiran memandu kenderaan berantai.

Katanya, kemahiran tersebut tidak dapat diperolehi jika beliau menjadi orang awam.

‘’Kursus yang telah dilalui sebelum ini benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal.

‘’Hanya disiplin yang tinggi sahaja membolehkan seseorang itu melepasi ujian yang ditetapkan sebelum dapat bergelar pemandu kelas A,’’ katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang benar-benar menguji kebolehannya ketika memandu MIFV ialah pemanduan malam.

‘’Ketika itu kami memandu tidak menggunakan cahaya lampu, ini menguji kebolehan kami,’’ katanya.

Bagi Koperal Mekanize, Lans Koperal Mohammad Ruzaide Abdu Rahim, 25, menjalani kursus pemandu dalam MP Mekanize suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

Menurutnya, walaupun seronok menjalani kursus pemanduan, namun ia tetap mencabar kebolehan.

Ini kerana katanya, kursus melibatkan anggota-anggota MP Mekanize itu bukan sahaja memerlukan kesabaran, malah kecekalan hati.

‘’Mula-mula memang sukar.

Selama dua minggu yang pertama saya sukar menguasai latihan dan kenderaan, selepas dua minggu barulah saya mendapat rentak pemanduan,’’ katanya.

PDF Keseluruhan Keluaran 180

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF