 |
Tentera Darat (TD) di samping giat dengan tugas mempertahankan benteng barisan hadapan pertahanan
negara masih mempunyai ruang mengisi keperluan yang menepati tugas-tugas skunder semasa aman.
Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti skunder ini mempunyai kaitan rapat dengan
pengisian jati diri dan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada keunggulan seseorang perajurit.
Oleh yang sedemikian, Sambutan Hari Ulang Tahun TD yang Ke-76 diadakan di Kuala
Terengganu pada 23 hingga 25 Jul 2009.
Pameran statik bermula jam 8 pagi hingga 6 petang mengenai Kerjaya TD diadakan di Pantai Batu Buruk dan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat dan mengetahui dari dekat mengenai Kerjaya TD yang merangkumi 16 Kor di dalam TD serta mencuba memegang senjata yang selama ini hanya digunakan oleh anggota tentera sahaja.
Oleh kerana itu ATM melalui cabang-cabang perkhidmatan masing-masing mempunyai pasukan tatunya sendiri yang mana sering dipertontonkan kepada umum di hari-hari kebesaran negara malah menjadi acara tetap di peringkat antarabangsa yang terbukti mengamit ramai penonton.
Jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kemahiran memperagakan kawad senyapnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kebolehan bergimnastik, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit-unitnya mempunyai variasi kemahiran Tempur
Tanpa Senjata (TTS), Pertunjukan RAID 11 Rejimen Gerak Khas (RGK), Akrobatik Wira Merah Polis Tentera, Pertunjukan Kebolehan
Anjing Perang dan yang terbaru ditubuhkan
ialah Kawad Senyap dari Pasukan Infantri yang mampu menghiburkan penonton dengan aksi-aksi yang jarang dipertontonkan.
Generasi hari ini saban hari melalui pelbagai saluran media disogokkan dengan segala macam hiburan seharusnya ada pihak yang memberi insentif kepada pasukan-pasukan beruniform negara menyediakan slot kemahiran mereka untuk dipertontonkan kepada umum dalam usaha mendedahkan generasi muda dengan unsur-unsur yang lebih patriotik.
Rakyat negeri Terengganu khususnya sangat bertuah kerana pada tahun ini persembahan TATU Tentera Darat diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu sempena menyambut HUTD Ke-76.
Kesinambungan daripada acara-acara sambutan bersama yang telah dilaksanakan sepanjang tahun, sekali lagi TDM mengambil
inisiatif mempersembahkan kebolehan anggota-anggota TD melalui pertunjukan TATU.
Acara yang bermula pada jam 9.
00 malam telah dirasmikan oleh Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Di antara dif-dif kenamaan yang turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud, Pembesar-pembesar Istana, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Panglima Medan TD, Lt Jen Datuk Raja Mohammed
Affandi Raja Mohammed Noor.
Persembahan Pantomin akan memaparkan pertempuran yang melibatkan seorang Wira Negara semasa darurat menentang musuh negara iaitu pengganas
komunis.
Ia mengisahkan kejadian pertempuran platun yang diketuai oleh Kapt Hamid Awang (Bersara) dan Pengganas Komunis Kalimantan Utara (PGKKU).
Kejadian berlaku semasa tugas gerakan di kawasan Gunung Pueh, Daerah Lundu, Sarawak pada 7 Apr 1973.
Kejayaan dan keberanian yang ditunjukkan oleh Kapt Hamid telah menjadi pendorong kepada semua warga anggota tentera untuk terus berjuang demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Pada 6 Jun 1973, beliau telah dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan salah seorang anggota platun beliau iaitu LKpl Mohd Taib bin Tawal telah dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB).
5 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 18 RAMD dan 21 RAMD berganding tenaga bersama mempersembahkan pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS), yang merupakan seni mempertahankan
diri yang mempamerkan pergerakan yang pantas dan tangkas.
Ia juga menunjukkan pertempuran menggunakan benet dan teknik mempertahankan diri dengan senjata.
Antara pertunjukan yang dipersembahkan adalah kilas mengilas tanpa senjata, bertarung menggunakan senjata Colt M16, bertarung menggunakan benet, pertunjukan lompat berhalangan/gelung api dan pertunjukan pemusnahan
genting dan papan.
Sketsa humor turut mengalih perhatian penonton dengan lagak lawak sekumpulan juruteknik-juruteknik dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJD) yang mendapat pendidikan dari Institut Kejuruteraan TD (IJED) Port Dickson.
Pemasangan kenderaan Formula 3 (F3) yang telah diubahsuai menggunakan Enjin Campro berkapasiti 1600 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 200 km/j.
Manakala sebuah lagi menggunakan Enjin Model Subaru berkapasiti 1800 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Kejayaan mencipta kereta F 3 ini adalah hasil sentuhan inovasi daripada juruteknik-juruteknik IJED.
Pusat Latihan Tempur TD (PULADA) turut mengambil bahagian dengan mempertontonkan
kemahiran dan ketangkasan anjing-anjing perang dengan beberapa skil terlatih.
Cawangan Anjing Perang telah mula ditubuhkan pada tahun 1957 oleh Tentera British semasa pusat latihan ini dikenali sebagai
Jungle Warfare School (JWS).
Pada 5 Nov 1971, cawangan ini ditubuhkan
dengan rasminya walaupun pada ketika itu cawangan ini hanya mempunyai 13 ekor Anjing Perang iaitu lapan ekor Anjing Pengesan dan 5 ekor Anjing Peronda Infantri yang diserahkan oleh Tentera British.
Pada Feb 1972, Unit Anjing Tentera Amerika yang berpengkalan di Ford Gordon, Georgia menyumbangkan
12 ekor Anjing Pengesan jenis ‘Labrador’.
Fungsi utama cawangan ini dalam melaksanakan
tugas-tugas operasi dan latihan untuk memenuhi keperluan Tentera Darat khasnya manakala Angkatan Tentera amnya,
fungsi utama organisasi adalah melatih Pengawas dan Anjing Perang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan efektif dan efisien.
Kawad Senyap yang akan dipersembahkan
adalah pertunjukan Pergerakan Kawad Kaki dan Senjata, ianya melibatkan aktiviti pergerakan secara tepat dan serentak tanpa sebarang perintah.
Persembahan ini melibatkan
seramai 400 orang anggota tentera.
Kawad Tindak Cemas merupakan tindakan
serta merta yang diambil apabila berhadapan dengan halangan semulajadi mahupun buatan manusia bagi membolehkan
pasukan Rejimen Artileri Diraja memberi bantuan tembakan membantu pasukan di barisan hadapan.
Kawad-kawad yang akan ditunjukkan bermula dari membuka komponen meriam, membawa komponen tersebut melintasi halangan
dan seterusnya memasang semula sehingga tembakan dibuat (meriam bekerja).
Pertunjukan RAID yang dipersembahkan oleh tim daripada 11 Rejimen Gerak Khas (RGK) adalah demonstrasi operasi menyelamat
tebusan terutama orang kenamaan yang diculik.
Konsep pertunjukan ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama adalah penculikan yang mana VIP akan diculik oleh lima pengganas dan VIP berada di pentas VIP akan dibawa ke OC KUP.
Peringkat kedua pula, Menyelamat Tebusan
yang dilaksanakan oleh Tim 1 Unit Lawan Keganasan (ULK) 21 RGK seramai 12 orang penggempur dibantu oleh dua orang sniper.
Peringkat terakhir adalah penarikan keluar dan pengunduran iaitu teknik pengunduran menggunakan kenderaan awam.
Pancaragam Gabungan 3 Divisyen mempersembahkan pancaragam gabungan dari semua pasukan di bawah naungan 3 Divisyen Infantri yang melibatkan kekuatan seramai 200 anggota yang mempersembahkan kemahiran
menggunakan alat muzik dan dipelbagaikan dengan gerak geri dan formasi-formasi yang menarik serta menghiburkan.
Pertunjukan TATU TD pada kali ini diakhiri dengan Tim Akrobatik Wira Merah Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) tidak pernah ketinggalan di mana-mana jua persembahan TATU TD.
Kumpulan Akrobatik Motosikal ini ditubuhkan pada tahun 1963 di Kem Imphal Kuala Lumpur.
Wira Merah ini mempersembahkan 12 acara menggunakan
19 buah motosikal yang melibatkan 26 aksi dalam masa 30 minit.
Aksi-aksi yang dipamerkan menarik perhatian kerana peserta pranita juga turut mengambil bahagian.
Walaupun aksi-aksi yang ditunjukkan agak merbahaya namun latihan dan komited menjadikan sesuatu aktiviti yang menghiburkan.
Mengakhiri program pada malam tersebut adalah pertunjukan bunga api.
Sesungguhnya tiada bahasa yang lebih indah selain ucapan syabas yang boleh dilontarkan kepada anggota TD yang selain menjadi benteng pertahanan malah juga menabur bakti melalui program jiwa murni kepada masyarakat, mampu menjadi penghibur alternatif malah sebagai pengaman di peringkat antarabangsa.
Jika diambil kira dari jumlah penonton yang hadir membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam tersebut, bahawa rakyat Malaysia dahagakan hiburan alternatif seumpama ini untuk mengimbangi hiburan yang melibatkan artis semata-mata.
Pertunjukan sebegini
juga jika saluran media elektronik turut menyiarkan secara langsung ke seluruh negara secara konsisten mampu menjadikan generasi muda lebih patriotik dan tahu menghargai kebolehan serta kemahiran rakyat sendiri.
PDF Keseluruhan Keluaran 180
|
|
|