Agama
Menghargai dan Mensyukuri Jasa Perwira Negara
Penulis: Tim BTDM   Tarikh Kemaskini: 22 Disember 2009
Gambari: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Marilah kita bersama- sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dalam segala waktu dan keadaan.

Semoga dengan demikian itu, Allah akan memberkati hidup kita dan akan meletakkan kita di alam perlindungannya.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana sehingga ke hari ini, kita masih lagi dapat hidup berbakti dan beribadah kepada Allah dalam suasana aman damai dan tenteram dibumi Allah yang tercinta ini.

Ketenangan dan Kedamaian kita beribadah serta dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan sempurna kerana kita hidup di bumi Malaysia yang di anugerahi Allah sejak dahulu lagi dengan segala macam nikmat hasil bumi yang makmur serta kerana nikmat keamanan yang berkekalan.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan beberapa negara lain di dunia ini yang kebanyakannya sentiasa dilanda berbagai masalah seperti pergaduhan kaum, peperangan dan pembunuhan sesama sendiri sepanjang masa tetapi amat berbeza dengan negara kita Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum, boleh hidup dengan aman makmur tanpa rasa takut atau bimbang serta kita bebas bergerak kemana-mana sahaja di negara ini tanpa rasa tergugat dengan sesiapa pun.

Kita juga bebas untuk melakukan apa-apa sahaja pekerjaan yang baik seperti bertani, berniaga atau apa-apa sahaja pekerjaan yang berfaedah untuk pembangunan negara.

Segala nikmat Allah ini hendaklah kita syukuri.

Inilah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Mereka yang bersyukur ialah yang tahu menghargai segala pemberian Allah kepada-Nya.

Dan di atas sifat syukur ini Allah akan menambah lagi nikmat kepada hamba-hambanya sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Ibrahim Ayat 7 Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan : Sesunggunhya jika kamu bersyukur pasti kami akan tambah (nikmat) kepadamu, jika kamu mengingkari (nikmatku) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.

Tahukah kita bahawa setiap nikmat yang kita kecapi ini bukanlah datangnya dengan percuma sahaja.

Ada di antara nikmat itu untuk sampai kepada kita, kita terpaksa mengharungi pelbagai usaha dan cabaran sebelum ianya terhasil, contohnya nasi yang kita suap setiap hari adalah daripada titik peluh para petani disawah, kenderaan yang kita naiki adalah hasil ciptaan para jurutera yang tidak pernah jemu membuat kajian dan penyelidikan.

Begitu juga dengan nikmat keamanan negara yang kita kecapi hari ini bukanlah ia muncul dengan mudah dan percuma tetapi adalah hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah yang sanggup mengadaikan jiwa raga mereka demi melihat keamanan tercerna dibumi tercinta ini .

Di negara kita Malaysia setiap tahun apabila tiba tanggal 31 Julai telah diisytiharkan sebagai “Hari Pahlawan“.

Tujuan hari ini diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah untuk mengenang jasa dan pengorbanan para Pahlawan Tanah Air yang terdiri dari pasukan keselamatan Tentera dan Polis yang telah berjuang mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara dari ancaman musuh.

Sesungguhnya perwira negara ini telah menunjukkan kehebatan dan kepahlawanan mereka sejak zaman dahulu lagi.

Sebagai contoh pada zaman moden ini para perwira negara telah menunjukkan kehebatan mereka mempertahankan negara sewaktu menentang pencerobohan tentera Jepun sewaktu perang dunia Kedua dan sewaktu zaman darurat antara tahun 1960- 1948.

Bukan itu sahaja bahkan para perwira kita telah diminta untuk menjadi tentera pengaman negara seperti di Bosnia, Somalia, Iraq dan lain-lain.

Sesungguhnya perjuangan para perwira kita mempertahankan agama, bangsa dan negara adalah satu jihad menurut pandangan Islam.

Perjuangan suci para perwira kita ini adalah daripada warisan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.

Mereka telah mengorbankan jiwa raga dan harta demi mempertahankan Islam.

Perjuangan mereka diteruskan oleh para pengganti mereka sehinggalah Islam tersebar luas diseluruh dunia dan mereka telah mempertahankan Islam daripada segala serangan musuh-musuh Islam.

Jadi perjuangan para perwira kita hari ini adalah kesinambungan perjuangan para sahabat zaman silam.

Dalam sejarah Islam terdapat ramai pahlawan Islam yang bersemangat waja, kuat dan terbilang.

Diantaranya termasuklah Saidina Hamza, Khalid bin Walid, Tariq bin Ziad, Salahuddin Al-Ayubi dan lain-lain lagi.

Manakala dalam sejarah tanah air kita pula terdapat tokoh-tokoh seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Saleh, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya yang dianggap sebagai pahlawan kerana menentang penjajahan barat ke atas ibu pertiwi tercinta.

Tetapi persoalannya kini berapa ramaikah orang kita yang dapat mewarisi semangat kepahlawanan mereka itu dan berapa ramai pula yang rela mengorbankan hartanya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, semangat kepahlawanan bukanlah semata-mata tahu dan mahir bermain senjata.

Ia sebenarnya merupakan satu rangsangan dalaman yang menyemarakkan semangat juang yang tinggi dalam diri sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan harta demi mencapai matlamat suci.

Ini bermakna seseorang yang dikatakan bersemangat pahlawan itu tidak semestinya seorang tentera atau polis.

Mereka yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk membela agama, bangsa dan negara serta menyumbangkan buah fikiran bagi membenteras ancaman musuh boleh juga disifatkan sebagai pahlawan.

Walau bagaimanapun lazimnya orang yang berjuang secara langsung mengangkat senjata memelihara kesucian agama, maruah bangsa dan kedaulatan negara dianggap sebagai pahlawan.

Para pahlawan telah banyak mengorbankan keselesaan hidup dan keseronokkan bersama keluarga hanya semata-mata memberi tumpuan kepada keselamatan negara.

Semua pengorbanan ini bukan dinilai dengan harta benda dan wang ringgit tetapi semuanya ini meminta kita berfikir dan menginsafi bahawa di sebalik kedamaian dan keamanan negara yang kita nikmati ini terdapat segolongan insan yang terpaksa berkorban walaupun diri mereka dan keluarga terseksa.

Oleh itu, pengorbanan yang sebegini besar selayaknya mendapat perhatian yang serius dan menggelakkan dari semua lapisan masyarakat.

Islam amat memandang tinggi golongan ini sebagaimana dijelaskan didalam Al-Quran di dalam Surah At-Taubah ayat 111: Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara ) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.

Justeru, kerana itulah kerajaan amat prihatin terhadap pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah terkorban.

Pelbagai perancangan dan insentif telah disediakan oleh pihak kerajaan atas golongan ini dan ahli keluarga mereka antaranya seperti penubuhan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan sebagainya.

Manakala kita sebagai rakyat Malaysia yang mendapat nikmat dari pengorbanan para pahlawan negara sewajarnya memberi penghormatan dengan sokongan moral dan material membantu meringankan beban hidup keluarga mereka dengan menghulurkan bantuan harta dengan mengisi Tabung Amanah yang dianjurkan oleh pihak kerajaan supaya mereka lebih bersemangat untuk mempertahankan negara ini .

Kesimpulannya, Islam mengiktiraf para pahlawan tanahair ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, para pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan geraklaku dalam perjuangan mereka sebagai amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mereka mendapat pengorbanan semasa hidup di dunia dan anugerah yang besar dari Allah s.w.t. pada hari akhirat kelak.

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 120: Maksudnya : (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman berhijrah berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Segala perjuangan para pahlawan yang terdiri dari pasukan keselamatan iaitu polis dan tentera yang mempertahankan negara adalah satu tugas yang sungguh mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan.

Kalau kita lihat pengorbanan yang telah ditunjukkan Rasulullah s.a.w.dan para sahabat r.a. penuh semangat dan kesungguhan.

Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga bukan setakat semangat dan tunduk di bawah kekuasaan Islam malah kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk kepada Islam.

Semangat jihad dan kepahlawanan yang mereka tunjukkan ini diwarisi mujahid-mujahis Islam seperti Salahuddin Al-Ayubi dan hinggalah ke hari ini serta diharapkan semangat jihad bersemadi dalam jiwa para pahlawan tanahair.

Mengapakah para pahlawan perlu diberi penghormatan hingga diwujudkan Hari Pahlawan? Ya. Memang wajar kita memberi penghormatan yang sedemikian kerana :

* Mengenangkan jasa bakti mereka yang sangat mulia kerana rela dan sanggup mengenepikan segala kenikmatan hidup demi mempertahankan negara dan menjamin keutuhan agama serta kesejahteraan hidup kita.
* Untuk menguatkan semangat dan memberi dukungan serta mendorongkan mereka akan terus mempertingkatkan iltizam dan kewaspadaan dalam menjalankan tugas.
* Untuk membuktikan bahawa kita sentiasa bersama mereka sama ada dari segi semangat mahupun doa dan harapan .

Marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T. terhadap segala nikmat keamanan dan kedamaian yang kita kecapi ini adalah hasil perjuangan para perwira dan pahlawan kita.

Mereka pada setiap masa bersiap sedia mempertahankan Ibu Pertiwi daripada segala ancaman.

Kebebasan kita bergerak dan melaksanakan aktiviti kehidupan seharian seperti dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan aman dan tenteram adalah nikmat daripada Allah s.w.t. sebagai balasan dari pengorbanan dan perjuangan para perwira kita yang diberkati oleh-Nya.

Jika kita bandingkan negara kita dengan negara lain, kita sepatutnya berasa amat bersyukur kerana tiada kekacauan, pergaduhan dan peperangan yang melanda.

Tidakkah semua nikmat itu mampu membuat kita bersyukur dan berterima kasih kepada para perwira kita, sudah tentu kita patut merasa terima kasih kepada mereka semua .

Oleh itu, marilah kita membantu para perwira kita dan kaum keluarga mereka yang ditinggalkan melalui sokongan moral atau fizikal sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka, mudah-mudahan kita termasuk dikalangan orang-orang yang bersyukur kepada Allah S.W.T. Maksudnya : dan katakanlah (wahai Muhammad) beramallah kamu ( akan segala yang dipernahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan kembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

PDF Keseluruhan Keluaran 180

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF