Latihan
Demontrasi Kuasa Tembakan
Penulis: Sjn Kamarulzaman Ariffin    Tarikh Kemaskini: 22 Disember 2009
Gambar: Tim Berita Tentera Darat
+ Email Artikel Ini!

Dalam sesebuah peperangan atau pertahanan, kuasa tembakan adalah sesuatu kuasa yang akan memberi impak yang besar kepada pihak musuh untuk menyerang.

Ini kerana setiap dentuman dan ledakan yang terhasil dari setiap laras senjata tersebut memberi amaran kepada pihak musuh betapa kuatnya pertahanan yang sedia ada.

Justeru itu, bagi memperlihatkan keupayaan dari segi persenjataan yang dimiliki oleh Tentera Darat (TD), satu Demonstrasi Kuasa Tembakan 2009 Kem Syed Sirajuddin, Gemas, telah diadakan pada 7 Jul 2009.

Keberangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah mencemar duli bagi menyaksikan keupayaan persenjataan berat yang dilaksanakan pada hari tersebut.

Demonstrasi tersebut memperlihatkan senjata bantuan dari senjata Heavy Meachine Gun (HMG) sehinggalah yang berat yang dimiliki oleh TD.

Keupayaan kuasa tembakan yang dipamerkan memang mencapai tahap keberkesanan yang dikehendaki dan menepati setiap sasaran yang dibidik.

Setiap persenjataan yang dibuat demo tembakan walaupun sudah lama digunakan tetapi masih boleh berfungsi dengan baik dan berkesan ini adalah kerana ianya dijaga dengan teliti walaupun digunakan pada tahap yang maksima.

Turut dipamerkan juga termasuklah kehebatan kereta kebal pengangkut jenis Condor 20mm Oelikon yang mampu membawa lapan anggota pada satu-satu masa.

Apa yang lebih membanggakan lagi bagi Kor Armor Diraja (KAD) adalah kehebatan kereta kebal Pendekar (PT-91M) buatan Poland dengan mempamerkan aksi membedil sasaran dan mempunyai kecanggihan untuk kereta perisai di era kini.

Diterima sepenuhnya pada 16 April 2009, PT-91M ini dilengkapkan dengan kuasa tembakan, daya mobiliti dan perlindungan terbaik kepada krew, selain direka bentuk dengan kadar graviti dan ‘silhouette’ yang rendah bagi mengurangkan pengesanan pihak musuh.

Turut mengambil tempat pada demonstrasi berkenaan ialah dua pesawat pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM dan juga empat pesawat Hawk yang berlegar-legar di ruang angkasa dengan pelbagai formasi sebelum membedil kawasan sasaran.

Walaupun masih ada kekurangan dari aspek persenjataan dan aset yang perlu dinaiktaraf, namun ia tidak melemahkan semangat TD dalam mempamerkan aset pesenjataan yang dipertontonkan.

Perkara itu mendapat perhatian dari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu semua aset dan juga persenjataan sedia ada perlu dinaik taraf, sungguhpun negara kini terus merasai tempias kegawatan ekonomi global.

Tambahnya, dalam soal seperti ini, ketiga-tiga sayap ATM perlu diberi perhatian oleh kerana kebanyakan aset serta persenjataan dilihat telah terlalu tua untuk berkhidmat bagi mempertahankan negara.

Lantaran itu, beliau menjelaskan, pemilikan persenjataan baru itu wajar diambil kira bagi memastikan semua aset milik ATM sentiasa memenuhi tuntutan semasa bagi ketiga-tiga pasukan tersebut.

Melihatkan aset dan persenjataan itu, beliau juga menjelaskan demonstrasi ini mampu menunjukkan ATM mampu bersaing selain merancang dengan baik serta diuji keberkesanannya.

“Menerusi demonstrasi ini, kita mahu tunjukkan bahawa persenjataan ATM jika dirancang dan digunakan dengan betul, mampu menghasilkan kuasa pemusnah yang dikehendaki dan menghalang sebarang ancaman musuh pada negara.

“Saya percaya demonstrasi ini berjalan dengan lancar dan berharap agar keadaan sama juga berlaku jika kita berdepan dengan ancaman atau situasi cemas,” tegasnya.

Secara keseluruhannya, ATM dilihat berjaya membuktikan bahawa angkatan itu merupakan sebuah pasukan yang berupaya mempertahankan Malaysia dan kedaulatan negara agar tidak dicerobohi oleh anasir-anasir yang iri hati dengan kemakmuran dan kedamaian negara Malaysia setelah 52 tahun kemerdekaan dicapai.

 

PDF Keseluruhan Keluaran 180

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF