 |
Biar bermandi keringat semasa latihan supaya tidak bermandi darah di dalam peperangan kerana latihan merupakan unsur terpenting bagi pembinaan anggota
tentera khususnya pasukan tempur dan bantuan tempur kerana latihan seharusnya menjadikan kegiatan pokok sehari-hari terutama
sekali apabila tidak melibatkan operasi.
Mengendalikan sesuatu latihan di dalam pasukan bukannya hal yang sulit, apa yang yang diperlukan adalah kesedaran bahawa latihan itu akan menyelamatkan nyawa di dalam peperangan dan ianya adalah kebajikan
yang mulia bagi seseorang perajurit.
Latihan tidak semestinya sentiasa memerlukan
alat kelengkapan dan bantuan latihan yang canggih, apa yang wajib adalah kesungguhnya, imaginasi dan akal budi.
Bagi Pemerintahan Medan Tentera Darat, Panglimanya sentiasa memastikan warga TD sentiasa bersedia demi memastikan keselamatan negara terjamin.
Sehubungan itu, pertandingan seperti Cabaran Bukit Besi merupakan persediaan melengkapkan diri bagi memastikan anggota
dan pegawai TD sentiasa bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Pertandingan yang mempunyai empat disiplin yang dipertandingkan
dalam Cabaran Bukit Besi 2009 sebagai pertandingan ala ketenteraan peringkat warga Pemerintahan Markas Medan Tentera Darat (TD).
Cabaran Bukit Besi mula diperkenalkan pada 2005 berkonsepkan Kembaraduga dan diubahsuai agar menjadi lebih mencabar dan dramatik untuk menguji daya perintah dan kekawalan
ketua kumpulan serta menanam gaya kepimpinan kepada semua anggota, meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental, toleransi serta keupayaan merancang daya saingan dan semangat juang.
Pertandingan itu juga berperanan mengekalkan semangat setiakawan dan bekerjasama sebagai kumpulan kecil di kalangan pegawai dan anggota, meningkat serta mengekalkan kecergasan jasmani
dan tahan lasak serta memupuk semangat kesukanan dan daya saing dalam pertandingan ala ketenteraan.
Pada tahun ini, sebanyak 11 kumpulan mengambil
bahagian terdiri daripada Pasukan Trup Medan iaitu Pasukan Markas Medan TD, 31 Rejimen Artileri
Diraja (RAD), 32 RAD, 33 RAD, 71 Rejimen Semboyan Diraja (RSD), 51 RAD dan Skuadron 4 Rejimen Askar Jurutera Diraja (4 Skn RAJD).
Sementara itu, pasukan jemputan pula terdiri daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Institut Komunikasi dan Elektronik TD (IKED) iaitu pasukan yang berada di sekitar Kem Sungai Besi.
Keanggotaan untuk setiap pasukan adalah seorang pegawai, seorang Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Kanan, dua Koperal dan Lans Koperal dan enam anggota terdiri daripada pelbagai pangkat (Pegawai, PTT Kanan, PTT Rendah) dan setiap anggota perlu membawa peralatan dan bekalan lengkap
operasi.
Cabaran ini perlu dihabiskan dalam empat peringkat di mana peringkat pertama ialah pendakian bermula dari lapang sasar A, Kem Sungai Besi sehingga ke Puncak Bukit Besi kemudian turun dari puncak tersebut dan melalui
bukit berhampiran Sri Kinabalu menuju ke Tasik Perwira berhampiran Kelab Golf Universiti Pertahanan Malaysia (KGUPNM).
Peringkat kedua pula ialah mendayung.
Peserta perlu mendayung bot tempur di Tasik Perwira sejauh 1.5 kilometer bermula dari KGUPNM dan berakhir di Laman Tasik Perwira.
Peringkat ketiga berlari.
Dalam peringkat ini peserta harus berlari sejauh dua kilometer menuju ke lapang sasar A, Kem Sungai Besi dan seterusnya menembak senjata kecil (Steyr AUG 5.56 milimeter)
Peringkat keempat dan terakhir akan menguji ketepatan pegawai dan anggota melalui cabaran menembak pada jarak 100 dan 200 meter.
Bagi kesemua peringkat cabaran yang dijalankan, sistem pemarkahan terbahagi kepada enam iaitu, pemeriksaan awal peralatan, markah mendaki Bukit Besi, mendayung, berlari, menembak dan pemeriksaan
akhir peralatan.
Matlamat utama aktiviti untuk mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama yang kuat di kalangan anggota TD terutama yang berada di pemerintahan medan, cabaran ini telah dipertandingkan buat julang kalinya pada 29 Jun 2005 sempena Ulang Tahun Pemerintahan Markas Medan TD ke-24 dan pertandingan ini diteruskan bagi memenuhi aktiviti tahunan Markas Pemerintahan Medan TD.
Objektif pertandingan ini untuk menguji
ketahanan serta memupuk semangat setiakawan
di kalangan peserta serta memupuk semangat kesukanan dan daya saing yang tinggi di kalangan warga trup medan TD serta warga Kem Sungai Besi.
Pertandingan ini mirip kepada sukan lasak dan kembaraduga yang mana memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, komitmen dan disiplin diri yang baik merupakan
tunjang utama setiap kumpulan bagi mengharungi empat disiplin utama pertandingan.
Dalam pertandingan ini, pasukan dari 71 RSD berjaya menjadi johan keseluruhan di dalam pertandingan ini dan kejayaan ini merupakan petunjuk utama komitmen pasukan berkenaan dalam memastikan kumpulan mereka terus unggul pada pertandingan akan datang,” katanya.
Kejayaan penganjuran Cabaran Bukit Besi kali ini tidak akan tercapai
tanpa komitmen tinggi daripada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menentukan kelancaran pertandingan tanpa sebarang masalah.
PDF Keseluruhan Keluaran 180
|
|
|