Bersama Pemimpin
Kempen Hari Pahlawan 2009
Penulis: Tim BTDM    Tarikh Kemaskini: 22 Disember 2009
Gambar: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Tanggal 31 Julai 2009, sekali lagi Malaysia menyambut Kempen Hari Pahlawan (KHP) bagi mengingati perjuangan dan jasa pahlawan tanah air yang telah berkorban dan berbakti kepada nusa dan bangsa.

Setelah setengah abad berlalu kita menempah sejarah kemerdekaan, Malaysia pada masa kini masih pesat membangun sebagai sebuah negara maju dan akan terus melangkah ke hadapan hasil dari keamanan dan keselamatan negara yang sentiasa terjamin.

Keadaan sedemikian tidak akan tercapai tanpa perjuangan dan pengorbanan bekas-bekas anggota tentera yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sejarah telah mencatat pengorbanan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam menentang pencerobohan dan perbuatan angkara khianat musuh negara.

Malah, perjuangan mereka bagi menjaga keamanan dunia sejagat melepasi perbatasan negara dengan terlibat di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan mengharumkan nama negara di peringkat global.

Dalam melaksanakan tugas, banyak darah dan keringat yang mengalir, ada yang terkorban dan tercedera ketika berjuang di medan bakti menyebabkan keluarga mereka hilang tempat bergantung dan yang tercedera pula sukar untuk mencari nafkah selepas bersara.

Pengorbanan para anggota tentera tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanya keikhlasan demi negara tercinta.

Sesungguhnya kerajaan amat prihatin dengan jasa-jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pejuang-pejuang bangsa.

Kerajaan juga sedar dan insaf bahawa tanpa jasa dan pengorbanan mereka sudah tentunya kemajuan dan kemakmuran negara yang dinikmati sekarang tidak semudah itu dicapai.

Oleh yang demikian, kerajaan komited untuk memastikan kebajikan bekas-bekas anggota tentera dan keluarga mereka tidak dilupakan atau tersisih dalam masyarakat lebih-lebih lagi apabila mereka bersara daripada perkhidmatan tentera nanti.

Bagi tujuan ini, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran telah melancarkan Dana Tabung Kebajikan untuk disalurkan kepada mereka dan keluarga yang memerlukan bantuan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Kempen Hari Pahlawan (KHP) Tahun 2009 berkata pada tahun ini KHP dapat kerjasama dan sokongan yang lebih mantap dari pihak kerajaan negeri.

Ini telah membolehkan kita menjayakan Kempen Hari Pahlawan secara menyeluruh di peringkat pusat mahupun negeri.

Oleh sebab itulah, kita amat mengharapkan agar semua pihak dan agensi yang terlibat mengembelingkan tenaga dan daya usaha bagi memastikan sambutan memperingati Hari Pahlawan pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan penuh bermakna untuk menghayati perjuangan pahlawan-pahlawan tanah air.

Usaha ini juga dijangka akan dapat membangkitkan semangat patriotik dan nasionalisme masyarakat terutama di kalangan generasi muda.

“Sebagaimana kita ketahui sambutan Hari Pahlawan pada tahun-tahun terdahulu, hanya dipenuhkan dengan agenda-agenda kutipan derma bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan, selain dari acara peletakkan kalungan bunga di Tugu Negara.

“Pada tahun ini, KHP mengambil pendekatan yang lebih progresif dengan menyelitkan agenda-agenda yang dapat menyuntik dan menyemarakkan lagi semangat patriotik khususnya di kalangan para belia di seluruh negara.

Hakikatnya, masa depan negara terletak di tangan para belia yang akan mengemudikan negara ke arah kejayaan selaras dengan dasar Wawasan 2020,” katanya ketika ketika berucap semasa majlis pelancaran KHP itu di Angkasapuri pada 27 Jul 2009.

Tambahnya lagi, KHP di peringkat Pusat dan Negeri memuatkan pelbagai agenda yang lebih bermakna dan positif dengan menyelitkan program-program yang berbentuk patriotik.

Buku-buku dan artikel serta dokumentari dan filem berbentuk perjuangan bangsa diperbanyakkan melalui media cetak dan media elektronik.

“Persepsi masyarakat terhadap KHP sering kali dikaitkan dengan program meminta derma atau sedekah.

Pendekatan ini barangkali sudah kurang sesuai pada masa ini kerana masyarakat tidak mendapat mesej sebenar apa yang hendak disampaikan melalui kempen tersebut.

Ini tidaklah bermakna yang saya menafikan bahawa kutipan sumbangan tidak penting bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan, tetapi kemungkinan cara pendekatan kempen perlulah diubah sesuai dengan keadaan semasa.

Kita seharusnya berasa bangga kerana mempunyai masyarakat yang amat prihatin dan mengamalkan sifat masyarakat penyayang, jelasnya.

Dari itu, saya yakin masyarakat kita akan bersedia bekerjasama untuk menjayakan gerakan Kempen Hari Pahlawan ini pada masa kini dan di masa-masa hadapan.

Di majlis tersebut, Datin Seri Rosmah Mansor menerima replika cek bernilai RM100,000 daripada Pengerusi Genting, Tun Haniff Omar pada majlis pelancaran kempen itu di Angkasapuri di sini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Hj Zainal.

Pada majlis itu, sebanyak RM630,000 sumbangan berjaya dikumpulkan daripada pelbagai agensi antaranya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Affin Bank, Tan Chong Group dan Genting Malaysia.

PDF Keseluruhan Keluaran 180

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF