Pengorbanan
Perjuangan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta dikenang sepanjang zaman
Penulis: Tim BTDM  Tarikh Kemaskini: 1 Jun 2010
Gambar: Tim BTDM
+ Email Artikel Ini!

Hidup tak selamanya indah.

Kadang kala kita diuji olehNya untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran dan pengorbanan orang yang berada di samping kita.

Walau apa pun yang berlaku kita sebagai umatnya harus tabah menerima segala dugaan dan cabaran yang mendatang.

Keharmonian yang kita kecapi sekarang hasil perjuangan orang-orang lama dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta haruslah dikenang sepanjang zaman.

Tiada yang dapat menggembirakan kita apabila dapat hidup dalam suasana aman damai tanpa ancaman dari pihak komunis.

Namun, kita harus sentiasa berwaspada agar tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi.

Seperti pepatah melayu lama ‘ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari’.

Sebagai anggota tentera kita harus sentiasa bersedia mental dan fizikal agar tidak mudah melatah dengan masalah yang dihadapi.

Begitu juga seorang bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam unit komando suatu ketika dulu tanpa menduga yang dirinya akan mendapat kecederaan kekal sepanjang hidup.

Namun ketabahan hati dan kecekalan beliau menjalani kehidupan seharian harus dijadikan contoh kepada generasi tentera zaman sekarang.

Ikuti temuramah wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM) Pbt Nurulhaswani Ruzaini bersama jurugambar Sjn Muhamad Solor Ismon berkesempatan menemuramah PW 2 Hj Hussin Hj Mahbib (Bersara) menceritakan detik-detik manis liku-liku kehidupan serta pengalaman suka duka sepanjang berkhidmat di dalam tentera.

208452 PW 2 Hj Hussin Hj Mahbib (Bersara) dilahirkan pada 12 Nov 1949 merupakan seorang bekas anggota tentera yang berani mempertaruhkan nyawanya demi mencapai matlamat mempertahankan keselamatan negara dari ancaman musuh.

Anak kelapan dari sepuluh orang adik beradik merupakan anak kelahiran Muar, Johor menceburi bidang ketenteraan pada usia 21 tahun.

Untuk berbakti kepada negara beliau memilih Tentera Darat sebagai kerjaya dan memasuki tentera pada 24 April 1970.

Beliau menjalani latihan ketenteraan selama empat bulan di Port Dickson dan diserap terus ke kumpulan pertama percubaan Komando di Kem Sungai Udang untuk mengikuti kursus asas Komando selama tiga bulan.

Mereka diuji mental dan fizikal sebagai persediaan untuk berkhidmat dalam unit Komando.

Ini kerana unit Komando hanya memerlukan mereka yang betul-betul mantap sebagai sebuah pasukan elit TD khasnya dan ATM amnya.

Sebagai anak muda yang berjiwa kental pada ketika itu beliau sedikit pun tidak pernah menyesal atau pun ragu-ragu dengan tindakannya.

Malah sokongan ibu bapa dijadikan semangat untuk meneruskan cita-cita sejak dari kecil lagi.

Tamat menjalani kursus asas Komando, beliau diserapkan dalam X Skuadron Ketiga Terup 1 RGK sebagai terup tempur dan buat pertama kalinya terlibat dalam Operasi Kemubu, Kelantan tahun 1970.

Baginya tidak ada yang lebih berkuasa dari Allah SWT kerana ajal maut di tangan tuhan.

Tidak sedikit pun Hj Hussin berasa gentar melalui pengalaman kali pertama operasi di dalam hutan.

Selama enam tahun dalam terup tempur beliau sudah banyak kali mengikuti operasi dan tanggal 21 April 1976 ketika dalam Operasi Gubir 2 nasib tidak menyebelahinya kerana beliau telah terpijak jerangkap samar dan terputus kaki sebelah kiri bawah buku lali.

Namun ketabahan dan kecekalan hati membuatkan beliau tidak cepat melatah dan menerima semua ini sebagai dugaan hidup.

Menceritakan detik-detik cemas ketika itu, beliau diberikan tugas untuk memusnahkan kem musuh di kawasan Narathiwat, Thailand yang pada ketika itu musuh sudah meninggalkan tempat persembunyian tetapi masih terdapat banyak peluru dan jerangkap samar yang ditinggalkan.

Mereka bergerak melakukan kepungan melalui udara dengan empat penjuru menggunakan empat buah helikopter Nuri.

Pada masa itu merupakan hari pertama beliau dalam Ops Gubir 2 dan sebaik menjejakkan kaki ke bumi beliau telah terlanggar jerangkap samar yang dipasang dan melambung ke udara seketika.

Kasut spike yang dipakainya telah hancur berkecai dan darah banyak mengalir keluar tanpa disedari.

Beliau tersandar pada pokok sementara menanti anggota Combat Medic memberi bantuan perubatan.

Pada masa itu, beliau tidak sedar yang kaki kiri paras buku lalinya telah hancur.

Beliau tidak menyangka yang dirinya turut tercedera ini berikutan Hj Hussin merupakan orang ketiga dalam seksyen.

Selang beberapa minit dua rakannya turut terkena jerangkap samar.

Pasukan jurutera berjaya mengesan beribu-ribu jerangkap samar yang tertanam di kawasam musuh.

Setelah 30 minit berlalu helikopter Nuri tiba untuk membawanya ke hospital terdekat.

Ketika diangkat ke udara, musuh yang bersembunyi ternampak dan terus melepaskan tembakan.

Beliau bernasib baik tidak satu pun peluru-peluru sesat menembusi dirinya.

PW 2 Hj Hussin Hj Mahbib mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya Noraini Aba pada 30 Jan1972 telah dikurniakan empat orang anak perempuan serta dua orang anak lelaki yang masing-masing kini sudah berkahwin dan berjaya dalam hidup.

Mengingati saat-saat beliau hampir terkorban membuatkan dia bersyukur kerana memiliki seorang isteri yang setia dan sanggup bersama-sama di masa susah dan senang.

Seorang isteri yang sedang mengandungkan anak ketiga pada masa itu tetap setia menjaga suaminya selama sebulan di Hospital Alor Setar.

Tanpa sokongan kedua ibu bapa pada masa itu mungkin menyebabkan Noraini yang kini masih bekerja sebagai Guru Agama ketika menerima berita suami tercinta tercedera membuatkannya hampir-hampir pitam dan lupa diri.

Selepas itu beliau dipindahkan ke Hospital Terendak dan menerima rawatan susulan selama setahun menunggu kakinya betul-betul sembuh.

Beliau turut diberikan penghargaan dipakaikan pangkat Lans Koperal dalam hospital oleh Pegawai Memerintah 1 RGK, Lt Kol Hasbullah.

Selama 22 tahun berada di unit Komando beliau menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Pegawai Waren 2 dan unit terakhirnya di PULPAK.

Walaupun mengalami kecacatan kekal, namun semangat untuk meneruskan kerja sebagai seorang tentera sentiasa berkobar-kobar.

Hj Hussin turut diberi peluang mengikuti kursus-kursus dalam TD.

Walaupun telah berpencen beliau turut mendapat penghargaan dari pihak ATM ketika dijemput menghadiri majlis sambutan hari raya meraikan anggota cedera.

Pihak JHEV turut menghulurkan bantuan buat dua anaknya yang mendapat tawaran belajar ke luar negara.

Ini menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan bekas-bekas anggota tentera dengan mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara anggota tentera yang masih berkhidmat dengan orang-orang lama yang pernah menabur bakti demi menjaga keselamatan negara.

Selain itu semangat kerja berpasukan perlu diamalkan tanpa mengira pangkat kerana kita bekerja di dalam sebuah organisasi yang besar.

Setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing.

 



PDF Keseluruhan Keluaran 186

Seksyen 1| Muat Turun PDF Seksyen 5 | Muat Turun PDF
Seksyen 2 | Muat Turun PDF Seksyen 6 | Muat Turun PDF
Seksyen 3 | Muat Turun PDF Seksyen 7 | Muat Turun PDF
Seksyen 4 | Muat Turun PDF Seksyen 8 | Muat Turun PDF