 |
Kepada pegawai dan anggota
10 Briged (Bgd) Para memakai Beret Merun melambangkan identitinya
sebagai pasukan elit.
Beret Merun yang dipakai oleh pasukan
elit dikenali sebagai Pegasus.
Pegasus bermaksud kuda terbang iaitu seekor kuda yang mempunyai
sayap dan banyak terdapat di dalam cerita mitos masyarakat barat, khasnya mitos masyarakat Greek.
Kehebatan nama haiwan ini digunakan oleh pasukan Para Trooper British sewaktu mereka melaksanakan ujian pemilihan ke atas anggota Tentera Darat British sebelum mereka layak diterima sebagai anggota Para Trooper dan seterusnya layak memakai Beret Merun.
Dalam formasi ini antara syarat untuk melayakkan pemakaian Beret Merun adalah lulus kursus asas payung
terjun dan berjaya menamatkan
kursus penyesuaian Beret Merun (Pegasus).
Oleh itu, wartawan BTDM PW 2 Zaini Hj Abd Ghani (Bersara) dan Pbt Vijay Gaundar Arikrishnan
membuat liputan sepanjang Kursus Penyesuaian Beret Merun (KPBM) bermula pada 2 Mac hingga 5 April 2010 melibatkan sepuluh pegawai dan 98 anggota Lain-Lain Pangkat termasuk tiga wanita.
Antara objektif yang ingin dicapai
adalah menguji dan menentukan
bakal-bakal warga 10 Bgd Para mempunyai tahap fizikal dan mental seperti yang telah ditetapkan melalui
latihan dan ujian-ujian yang dilaksanakan dan juga memupuk semangat Airbone Borotherhood di kalangan bakal-bakal warga 10 Bgd Para.
Sebagai asas kelayakan kepada pegawai dan anggota untuk memakai
Beret Merun berdasarkan keupayaan dan pencapaian mereka
sepanjang kursus dijalankan sebelum diterima menjadi warga ketumbukan 10 Bgd Para.
Oleh itu, mana-mana pegawai dan anggota yang ingin menyertai 10 Bgd Para harus menjalani latihan asas Pegasus yang dikenali Latihan Semangat Waja di samping lulus asas payung terjun.
Antara latihan yang dilaksanakan seperti senaman perang, larian hutan
berpaya, mara lasak sejauh 12 kilometer (km), pelaksanaan serbuan khas, latihan 5 km bagi membolos dan mengelakkan diri, latihan abseilling, rapelling, junam
selesa, jalan laju 22 km, mendaki Gunung
Ledang, ikhtiar hidup, pandu arah 33 km, berjalan lasak 65 km, mendayung perahu tempur sejauh 32 km, berlari sejauh 7 km, merentas desa, larian balak, 32 km bagi larian berpasukan, larian 42 km, kawad tempur seksyen dan platun, kemahiran
mengendalikan senjata.
Latihan yang dilaksanakan bertujuan untuk menguji mental dan fizikal seseorang anggota sebelum layak diserapkan dalam 10 Bgd Para.
Di samping itu juga, mereka dikehendaki menjalani latihan khas meliputi operasi pendaratan secara taktikal melalui udara (TALO), latihan payung terjun, latihan tempur jarak dekat (CQC), latihan penerjun bebas
(HALO/HAHO), kursus penembak tepat, kepakaran menggunakan bahan letupan, kebolehan menembak
dan menembak pantas.
Setelah berjaya menamatkan kursus, upacara pemakaian Beret Merun dan Sayap Berdarah kepada pegawai dan anggota akan disempurnakan
oleh Panglima 10 Bgd Para.
Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Ismet Nayan Ismail dalam ucapan penutup KPBM Siri 24/2010 menjelaskan
setiap pegawai dan anggota yang menghadiri KPBM yang dikenali
sebagai Pegasus adalah merupakan
satu bentuk latihan persediaan
bagi pegawai serta anggota yang menyertai ketumbukan elit ini, mempunyai ketahanan mental dan fizikal.
“Ianya akan membolehkan mereka berkhidmat secara efisien dan efektif di dalam formasi yang memerlukan mereka memberikan lebih dari apa yang mereka miliki,” katanya.
Tambah beliau lagi, hanya setelah mereka berjaya mengharungi
segala keperitan dan penat lelah ini barulah ganjarannya dapat dikecapi iaitu menyarungkan Beret Merun kebanggaan 10 Bgd Para.
“Beret Merun yang dipakai adalah merupakan satu kemegahan
dan kebanggaan ketumbukan ini.
Ianya melambangkan identiti dan maruah kita semua.
Oleh yang demikian, berkehendakan setiap individu
yang menyarung Beret Merun hendaklah menjaga maruah dan kebanggaan Beret Merun ini agar ianya tidak dicemarkan dengan keburukkan
yang datangnya daripada kita sendiri.
“Kita seharusnya sentiasa menjaga
kemegahan dan kemuliaan Beret Merun ini kerana tiada siapa di luar sana, dengan senangnya dapat menyarung Beret Merun ini di kepala mereka, kerana hanya mereka yang layak dan berkemampuan sahaja mampu untuk menyarung Beret Merun
ini,” jelasnya.
Oleh itu, kepantasan unit elit 10 Bgd Para ini secara tidak langsung memberi satu kelebihan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misinya bagi memastikan keamanan negara terus dikekalkan sehingga sekarang.
Dari segi kebolehan, 10 Bgd Para adalah pasukan elit payung terjun yang setanding dengan lain-lain pasukan
payung terjun di luar negara, misalnya Delta Force Amerika Syarikat.
10 Bgd Para sememangnya adalah sebuah pasukan elit yang mantap tetapi pada masa yang sama sentiasa mempunyai sikap merendah diri dan tidak gemar mendabik dada atas kebolehan yang ada.
Semangat setiakawan (esprit de-corp) menjadi teras utama pasukan ini dan juga boleh diumpamakan
sebagai sebuah pasukan yang mengutamakan hubungan silaturahim antara setiap anggota dan pegawai-pegawai.